Wednesday, October 21, 2009

DARI ARKIB RELEKJAP 2003 ¬PERJALANAN KE RUMAH ALLAH EPISOD 20 - 23

Mon Oct 13, 2003 10:59 pm
PERJALANAN KE RUMAH ALLAH ~ Episod 20


Tiada masalah balik seorang diri. Aku dah tahu jalan sebab tadi ustad dah ingatkan untuk cam Hotel AYjad Mekah dan hospital ayjad (Ayjad atau Ajyad ku kurang pasti, mana-manalah!) dan tanda lampu hijau iklan hotel itu.

Sampai di hotel pak T dan kenkawan sebilik dah tidur. Aku baru sampai.
Maklum waktu datang macam arnab waktu balik dah jadi kura-kura!

Begitulah pengalaman mengakhiiiiiiri hari pertama di Makkah!

Waktu aku masuk ke bilik ialah jam 2 pagi 31.1.2003. Betapa keletihannya. Letak kepala sahaja terus tertidor.
Selamat datang Jumaat. Solat subuh sendiri dgn Pak T di dalam bilik kerana terlalu uzuur gamaknya. Sarapan murtabak selebihnya dan kopi tongkat ali. Tidor sekejap. Sakit gigi hilang lepas titik gamat. Telan ubat-ubat perlu.

Solat Jumaat pertama di Masjidil Haram
11 pagi berangkat ke MH dengan Pak Tam. Dapat masok ke kawasan Kaabah . Cuaca panas tapi kalanya berangin. Ku lindungi kepala dengan sejadahku menanti azan. Dapat menompang duduk sebelah orang Indon dan Bangla. Pak T tetap dalam ihram Ifradnya, Dihimpit org Afrika. Waktu menanti ku habisi membaca Surah Yasin. Membaca doa2 yang ada berserta.

Azan berkumandang, Subhanallah! Gemanya, suara tukang azannya, sedap dan Allah menyedapkan telinga yang mendengar. Falam bahasa siber warga muda kita, “MELINTUK HABIS!

Ruang saf masih lapang untuk kami bersolat sunat. Yang menghimpit masuk pun masih dapat ruangnya. Mungkin kerana jemaah-jemaah dari Madinah belum masuk berhimpun di Makkah. Mungkin kerana ada lagi jemaah belum tiba dengan pesawat memasing.

Khatib membaca khutbah dalam bahasa tempatan . Maaf kata apa yang disampaikan sepatah haram aku tak ngertik! Udah difitrahkan kepadaku barangkali antara orang Melayu yang tak berusaha belajar. Menyesal! Terkenang waktu darjah satu dan dua sekolah Melayu (di Junjong Kedah) aku cuma mengaji agama disebelah petang dua jam sahaja sehari selepas balik dari sekolah . Bila bertukar ke sekolah Inggeris dan gostan balik ke standard I sampailah tamat Std. V (SB, Kulim) belajar apa yang ustad dan ustazah ajar bab Fekah dll matapelajaran agama dalam syllabus. Agama Cuma mata pelajaran. Kalau di pondok tentu agama itu merangkumi cara hidup cara berfikir dan berinteraksi termasuk bahasa Arab.

Luar waktu sekolah Cuma mengaji AlQuran dekat rumah jiran selepas maghrib (kampung aku menghabiskan pencenku sekarang). Jauh rasa rumah itu dulu tapi dah tua-tua dekat macam sekangkak kera. Orang yang mengajar aku dah lama kembali. Bila ikut ayahku berpindah ke balai polis Port Dickson dan tukar ke Std. VI di G. E. S. ku mengaji dengan Pak Busu, seorang guru Quran yang buta kedua matanya tapi terang pintu hatinya. Mengaji untuk khatam tapi tak khatam-khatam kerana ayahnai pangkat lagi bertukar ke IPK Seremban dan aku menyambung ke Form I di KGV. Tok guru aku yang mengajar di surau polis tu tak silap nama Hj Kamaruddin. Bila ku kenali Ahmad Tamimi Siregar, tahulah aku guru mengajar Quran itu adalah aruah ayahnda beliau. Waktu tu si Mat pegawai KKBS. Ku jumpa dia di Dewan Sri Pinang, Penang ketika Johan Pertandingan Drama Peringkat Kebangsaan anjuran KKBS dipersembahkan di hadapan khalayak teater termasuk Tun Governor yang menyampaikan hadiah. Aku turut tompang seronok sebab nashkah drama itu aku yang tulis. Dapat juga trofi waktu diistihar johan mewakili Wilayah Persekutuan KL. Selepas 20 tahun lebihpun masih ada kumpulan teater memilih karyaku itu untuk dipertandingkan kumpulan yang menyertai. Hingga sekarang masih dalam senarai drama-drama yang boleh dibawa ke pertandingan yang kini lebih dikenali Pesta Pekan Theatre. MATIC yang AM pi beramai-ramai geng KSRJ tengok pementasan itu dulu itulah KKBS tempat aku berkubang. Tapak NIKKO Hotel, Citibank, Dewan MCA sederet dijalan Ampang bertentangan Ampang Park tu dulu bangunan-bangunan kompleks KKBS tempat para penggemar seni teater, senitari, senilukis apa segala seni budaya bangsa Melayu berkumpul mengadakan latihan dan aktiviti kumpulan. Omar Abdullah Mari! Mari! Mari dan kini penerbit 999 satu kelaslah dbp Hafsham Pi Mai Pi Mai tang tu. Uji Rasid mula belajar menari dan jadi penari KKBS kat situ le dulu. M. Sani yang heboh kat Harian Metro pula sama-sama member kumpulan koir KKBS.

DOLU…waktu muda belia dulu. Bila agak berumur kirim karya ke TV untuk siri-siri drama tertentu. Sekarang Bang Haji dah pencen . Dah naik takut nak mereka-reka situasi-situasi kehidupan manusiawi lebih-lebih lagi berunsur komedi. Berdosa rupa-rupanya bagi mereka yang tahu . Rupa-rupanya menulis , dan mengejek (melakunkan) sesuatu untuk membuat penonton ketawa dan lalai dalam keseronokan berdosa. Kalau tak mengaji mana mungkin kita tahu. Bukan tak boleh menulis skrip pentas atau TV tapi apa yang ditulis itu yang membezakan dosa dan pahala. Nak buat camno , tobat dan minta ampun banyak-banyak lah atas dosa-dosa lalu. Apa ada pada glamour kalau tidak mendatangkan berkat. Apalah gelaran dan anugerah kalau apa yang tertulis dari ilham akan berbalik terjadi kepada diri sendiri .Secara kita tidak sedar adegan-adegan yang direkacipta adalah bayangan masa hadapan kita sendiri. Kalau baik, baiklah. Kalau tidak….nasib badanlah. Tertanggung diatas batu jemala sendiri.

Apa nak buat. Waktu itu udah tersurat terkiblat ke situ. Tak terdorong ke arah sana. Kalau tidak kok dah jadi ustad kalaupun tak penceramah bebas di atas pentas . Cakap Arab berabuklah. Tapi tempias-tempias bakat yang dianugerahiNya tetap terpahat tak mudah untuk dikikiskan. Yang itulah Bang Haji sumbang (dan kongsikan) melalui Tasik ini. Kalau diberi Allah ilham, nak tulis juga drama-drama beransur pengajaran yang dapat membawa ummah ke arah keperibadian dan seterusnya kehidupan yang lebih baik. Apatah lagi jika berlandaskan ajaran Islam . Ganjarannya, masyallah!

Sekian sekadar kenangan sebagai selingan untuk “warming up the mood” before the next episode ~ “ Hari-hari di Makkah Menanti Menjelangnya Wukuf di- Arafah”. Insyallah. Wassalam.



Sat Oct 18, 2003 2:09 am
PERJALANAN KE RUMAH ALLAH Episod 21

Assalamualaikum berjumpa lagi. Terima kasih kepada yang merespon baik untuk episod seterusnya. Sekadar untuk makluman warga budiman, sekali lagi bang aji terselamat. Hampir-hampir tertipu dengan mel konon dari Relexjap tentang Xray gambar yang kononnya boleh menampakkan susuk tubuh disebalik pakaian (wanita ler) yang terlaraang didedahkan….! Setahu kita sinar X-Ray menampakkan tulang rangka dalam bayang bahagian yang di scan tapi ini suatu teknologi apa boleh Xray dari gambar (berpakaian) dan nampak bahagian dalamnya? Tak ke pembohong besar tu?

Sebaik Episod 20 tersiar, macam dedulu juga, ianya bagai menggamit serangan virus. Kok dulu virus W32 so.BIG, tapi kini W32 Bugbear pulak. Terfikir juga kenapa atikel dan komentar terlepas tapi Perjalan Ke Rumah Allah diserang…? Ada pihak ingat BENariff dengan BENLaden ni adik beradik kot???Idakpun sengaja tak suka kita mempromotekan perjalanan ….Semoga usaha bangaji dilindungan Allah di dalam dua kalimah syahadahNya, amin!


Khatib khutbah panjang dan penuh semangat tapi aku terlena . Tak faham maknanya atau dah kebiasaan ? Kalau khutabah di masjid taman perumahanku yang terikat dengan text yang tertentu, bukan aku saja yang tersengguk lena, ramai jemaahpun memejam mata. Kok pejam kerana menghayati isinya tak apa juga. Yang sampai terlenabukannya tak faham bahasa ibunda tetapi kurang berkesan dihati.

Pak T pula rancak menceritakan sesuatu dgn jemaah Afrika sebelahnya. Mungkin dia tak perasaan atau ada tidaknya peringatan dari assistant khatib sebelum khutbah bahawa “sesiapa berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah, walaupun dengan perkataan DIAM sekalipun, maka sia-sialah Jumaatnya..” Kedua-dua orang jemaah Afrika di kiri kanan itupula berulangi-kali memberi isyarat SYYYY @ diam kerana tahu hukumnya dan hendak menumpukan kepada isi kutbah. Agaknya mereka pun hilang pahala jumaat kerana memberi isyarat “diam” itu pun kira macam “berkata-kata” jugak!
Entah apa yang hendak diceritakan ghairah sangat orang tua itu. Barangkali pengalaman dia semasa berkhidmat dengan pasukan semasa di CONGO ! Wallah…

Sebaik selesai khutbah dan bangun untuk solat ,ruang menjadi semakin sempit kerana ada jemaah yang menyusup dicelah-celah saf. Maka jadi “teghempon” lah aku tersepit. Bayangkanlah. Dalam berdiripun dah tersepit, apatahlah bila hendak sujud macam bertindih ponggong. Tak apa…tak apa, sedikitpun kita tak bersungut. Bunyi “cherh” pun tidak , “ish!” pun tidak. COOL ! Itu ujian atas kesabaran kita. Kita kan tetamuNya, apapun yang datang, adalah kehendak Tuan Rumah, alhamdulillah.

Habis solat memang tak sempat nak buat sunat ba’diah sebab solat sunat jenazah dimulakan. Jenazah atau mayit sudahpun diusung awal-awal sebelum azan dan diletakkan dipenjuru yang menghadap pintu Kaabah (betulkan jika aku tersilap) . Solat jenazah ini besar pahalanya bagi kita yang melakukannysa. Apatah lagi di Tanah Haram (dalam Masjidil Haram) beratus kali gandanya.

Lepas itu baru ku solat hajat dan berdoa. Pak T pun belum terfikir nak cabut kerana terkentut atau terasa nak terkencing. Agaknya doanya makbul. Aku seringkali mengingatkannya bermohon kepada Allah dari nak terkentut atau nak terkencing. Kalau solat di lobby hotel, dah azan pun dia masih berulang ke tandas. Then baru dia kenakan kain ihramnya.

Kawasan Kaabah agak lapang. Jemaah pulang untuk makan. Yang tinggal masuk garisn untuk tawaf sunat atau sekadar lepak-lepas melepaskan lelah. Dalam nak balik ke hotel, kubeli flask berwarna emas dengan harga RS8 sebab ku tengok ramai jemaah menggalas flask itu ke Masjid untuk mengisi air zam-zam. Untuk dibawa balik atawa minum di Masjid walaupun tong-tong berisi air itu berada di banyak tempat dalam Masjid.

Balik ke maktab, kami ambil pek makanan tengahari – masak daging nasi beriani dan acar. After that tidor. Tidur lebih baik dari berbual-bual kosong. Terlajak bual nanti mengata orang. Peluang mengata memang terpampang luas dihadapan mata di Makkah. Keadaan berhimpit-himpit waktu nak solat-lah, kecantikan bebudak penjaja tudung serban dan songkok lah, gelagat itu dan ini lah. So, jaga lidah.

Pak T menggerak ku bangun untuk solat asar. Kami turun dengan lif ke lobby di ground floor. Ustad B penasihat agama kami mengimamkan. Ooo cerewet akukata disini (bukan di sana) . Tukang qamatpun kena tegor sebab tak tunggu isyarat dari dia sebelum khamat. Tak tengok ada lagi jemaah nak masuk saf? Tak tengok samada jemaah dah selesai buat solat sunatnya? Yang patut minta jemaaf luruskan saf bukannya awak (bilal) tetapi imam!! Aku nak senyumpun tak berani ooo!

Selesailah solat berjemaah . Orang buat sunat selepas zohor, kitapun takkan nak keluar baris. Tapi di situ memang ikhlas sesiapapun jika rajin solat sunat. Kerana kesempatan mendapat ganjaran beratus kali ganda. Dosa jangan dicari, sebab akan dapat beratus kali ganda juga akan berat balasannya! Jangan pula nawaitunya semata-mata kerana dah bebelanja besar , tak buat rugi. Buatlah setakat apa yang terdaya.

Teringat aku suatu ketika bertanya bakal jemaah yang kebetulan rakan bergurau senda di surau taman perumahanku kenapalah kita “pulun” beramal di sana sedang di sini hala bala saja buat tak buat sunat-sunatnya?

Aik? Hang kenen kat aku ka? Macamlah hang tu ghajin sangat?

Dak aiih! Kerana ganjarannya-kah?

Oi, kita pergi sana untuk apa? Ndak beramal ibadatkan? Lagipun itukan Rukun Islam yang ke lima?

Kutanya lagi secara nakal, untuk 40 ke 45 hari disana sahaja kah? Bagaimana setelah pulang?

Tengoklah MABRUR tak mabrur haji kita. Bodoh punya soalan. Apa ra hang?

Aik? Kalau tak mabrur, jadi hala-bala balikkah amalan disini?

Nasib baik azan dah berkumandang dan berdosa kita kalau terus bercakap dan tidak menjawab azan.

Lepas solat aku ke hadapan hotel. Apa lagi? Merokok! Ramai jemaah merokok diluar hotel sambil memerhati gelagak penjaja memacam barangan. Jam tangan pelbagai jenama tapi awal bukan original. Manik beranika jenis dan warna . murah-murah . Secekak lebih kurang sedoze baru RS5 hingga ke RS8 sahaja. Koman-koman tasbih juga. Setakat nak beli untuk satu kariah apa salahnya. Tapi tunggulah dulu…udah selesai Hajinya dengan selamat dan sempurna akan balik ke hotel dan tunggu untuk ke Madinah esok belilah. Waktu orang dah nak balik esok dan Makkahpun dah lengang..lagi murah. Jual longgok saja. “Kawan” pesan. Ku toleh tengok siapa yang menegor aku dibelakang. Rupa-rupanya member sekampong aruah isteriku waktu aku tinggal dengan mentua di BM pada tahun-tahun 70-an dulu.

Keciknya dunia ! Sungguh tak sangka nak berjumpa dia disini. Dah tak kerja lagi. Pencen pilihan atas sebab-sebab gangguan kesihatan. Mengilat-ngilat sakitpun dapat pencen (Gomen), EPF (Swasta) sekali dengan gantirugi dari SOCSO lagi. Bertukar=tukar khabar lah kami akan “kedudukan” memasing diri. Nampaknya “khabar” dia lebih baik dan beruntung dari aku. Anak dah keluar Universiti. Tabungannya banyak di bank, tak abis makan, katanya. Keretapun akan ditukar ke WAJA balik dari Haji nanti. “BEN” pakai kereta apa? Ooo kalau dia pakai Waja, sekali lagi aku kalah! “Proton” sahaja. Tentu dia ingat PERDANA sebab dikampong dulu dia memang pandang tinggi kedudukan aku, walaupun waktu itu aku cuma pakai skuter LAMBRETTA second hand pi balik tempat kerja. Dulu dia drebar saja, itupun dengan izin Allah aku yang rekomen waktu aku pegawai penjaga sebuah bahagian di jabatan itu.Siapa nak sangka rezki Tuhan nak bagi. Dia datang dengan isteri. Tak bersapapun aku bila dikenalkan oleh suaminya. Menjaga tertib seorang Muslimah agaknya dia walaupun kenal. Mereka minta diri sebab nak ke Masjid. “Sehari saya sekali saja ke Masjidil Haram.” Selebihnya, di masjid berdekatan atau di lobby. Dia dah ke Madinah sebab datang dengan penerbangan yang lebih awal. Kebetulan nginap di hotel yang sama.


Seorang Bangla pekerja hotel itu menghampiri bertanya mahu rokok. Sambil matanya tengok kiri kanan berwaspada. Jual rokok disini salah agaknya maka dia terlebih berhati-hati cakap. Berapa? Enam riyal sebungkus 20 batang GG merah. Eh, kat KL baru RM3.00 sebungkus. Sikit cari makan , Haji. Tak apa. Stok aku masih ada berkotak-kotak lagi.

Tiba-tiba aku tengok penjaja lari berselerak. Cukup dengan sekali kaut, barang jajaan dah terbungkus untuk dikendong lari.
Bebudaknya lari ke seberang jalan ke kawasan perumahan di atas bukit. Yang berlindung disebalik jemaah mendapat pelindungan badan-badan jemaah. Kesian. Yang masuk ke hotel menyorok belakang kerusi setpun ada.. Kebanyakkan pendatang. Haram atau halal tak pasti. Tapi bukan warga tempatan. Bebudak tadi dari Afganistan, Tashkent, dan negara-negara Islam bekas jajahan Soviet Russia.

Kelihatan beberapa orang kakitangan penguatkuasa berpakaian jubah putih tiba dengan motor skuter . Pembonceng-pemboncengnya nya turun dan mengejar .Budak-budak tadi dibiarkan lari. Seorang penjaja jam tangan dikejar. Tapi penjaja itu pakai seluar bebanding si Arab yang berjubah panjang. Terlepas dan selamatlh dia melarikan diri dicelah-celah bangunan antara hotel.

JAM 6.00 petang sudah menghampiri maghrib (6.10pm) aku jalan ke Masjidil Haram . Ramainya maknusia membanjiri ke Masjid. Rezeki aku cuma dapat solat di kakilima sedang masjid jauh lagi. Jemaah melimpah ruah sepanjang jalan dan luar ruangan legar Masjid. Konon nak kedalam ambil bekalan air zamzam tapi tak ada jalan yang lapang. SEMUA peniaga tinggalkan gerai tanpa pengawasan sesiapa. Penjajapun begitu. Of course, mereka hampar sejadah memasing dekat barang dagangan memasing. Time masuk solat, semua urusan jual beli berhenti. Termasuklah pemandu teksi atau bas mininya. Jika membawa penumpang, dikerah turun . dia sendiri mengambil wuduh dengan air botol mineral sebab tak sempat nak ke tempat wuduk. Anggota polis dan bomba pun siap menunggu diatas sejadah mereka. Jangan ada yang tidak menunaikan solat fardhu apabila masuk waktunya.

Selepas maghrib ramai yang mengambil kesempatan mendekati Masjidil Haram (MH) dan mencari tempat di dalam sehingga masuk Isyak. Aktiviti jualan di gerai dan penjaja rancaak kembali. Ada juga tak baik yang ku nampak tapi aku tak komen apa-apa sebab baik sangka . Ku lihat beberapa jemaah lelaki semacam mengambil kesempatan “mengurat” gadis dan wanita kulit hitam yang menjual sejadah, inai mekah, kacang kuda, dan rempah ratus. Tak salah berkasih sayang sesama Ummah tetapi caranya kurasa janggal. Duduk bertenggek dekat-dekat merenung wajah (pilih yang tak berhijab) bertanya itu ini dan tawar-menawar . Inilah agaknya antara apa yang dikatakan si Indon (LULU) yang sering berlepak diluar hotel-hotel mencari upah haji dan korban. “Cerita-cerita” dari Tanah Haram yang JELEK untuk dibawa balik ke tanah air. Niat aku bukan nak menjatuhkan air muka sesiapa tetapi sekadar gambaran kerenah insan yang bernama maknusia senantiasa menerima ujian Allah s.w.t. akan keimanan dan ketaqwaan masing-masing walaupun dimana jua, lebih-lebih lagi di sini, di rumah Nya.

Wassalam.

BENariff
2.09am 181003



Sun Oct 26, 2003 6:56 am
PERJALANAN KE RUMAH ALLAH EPISOD KE22

Selepas makan malam di bilik lebihkurang jam 10 malam akupun keluar menuju ke MH . Tentulah seorang diri sebab rakan-rakan sebilik , kecuali Pak T, bersama isteri dan aturcara memasing. Niat hati nak beriktiqaf di MH hingga ke subuh esok.
Tidak ada apa=apa hendak dikejarkan. Jadi ku singgah ke kedai berdekatan betul dengan MH untuk membeli sebuah kamera. Lengkap dengan segulung filem 36 exposure dan battery dengan harga RS80. Tak lengkap rasanya perjalanan tanpa kamera untuk kurakamkan detik-detik sejarah hidupku di Tanah Haram. Penjualnya seorang anak muda dari Yemen. Aku dan dia berinteraksi dalam bahasa OMPUTIH broken-broken.

Seronok melihat telatah jemaah yang bersantaian di lapangan Masjid yang terang benderang . Yang berbual berbual . Yang mengaji mengaji. Yanag solat sunat, solat. Yang tidur tidur berselimutkan kain serban yang besar. Aku pun “test” kameraku mengambil panorama yang menarik itu dari atas balkoni gerai. Flash dari kamera menarik perhatian seorang “Mutawwif”. Menurut kata orang mereka ini adalah sukarelawan yang mengawasi tingkahlaku para jemaah yang melanggar peraturan di MH. Rupanya mengambil gambar MH dilarang. Aku sekadar mohon maaf dan beredar segera dari situ dan menuju ke lapangan. Ku simpan kameraku dalam beg kecil TH dan masuk ke dalam Masjid. Tanpa sedikitkan perasaan bersalah kerana ku tidak tahu kamera adalah antara peralatan yang dilarang bawa ke dalam MH. Pengawal di pintupun tidak sempat memeriksa kerana terikat dengan jemaah yang lain.

Masuk sahaja ke dalam MH, ku minum air zamzam. Berjalan turun ke gelanggang Kaabah, kuambil saf didepan Rukun Iraqi. Alhamdulillah, ku dapat mengerjakan solat-solat sunat taubat, hajat , tasbih. Tanpa terencana, air mataku titis berderaian.

Hari dah masuk ke Sabtu 1.2.03 di Makkah apabila matahari tergelincir memasuki waktu magrib (6.10 pm waktu Makkah) Di tanahair kita hari beralih selepas detik 12 malam.

Jam 2 pagi. Ku lihat ramai juga jemaah duduk bersantai merehatkan diri. Ada yang baring. Malah ada yang tidur . Timbul keinginanku hendak berbaring sekejap. Baru dok adjust kepala, ku diusir dari tempat itu bersama-sama lelain jemaah. Rupa-rupanya waktu itulah kerja2 mop lantai sekeliling Kaabah akan dijalankan. Beberapa buah jentera mop telah digunakan. Dari tangga MH mengadap Kaabah ku perhatikan cari mereka menjalankan kerja. Mula-mula satu kumpulan pekerja membuat cordon kawasan yang hendak dimop dengan tali tape. Kemudian diikuti kumpulan lain yang menyimbahkan detergent pencuci. Dikuti di belakangnya dengan barisan kumpulan yang mengemop dengan penyapu mop. Sungguh bersistematik. Tak berapa lama kemudian selesai semua halaman Kaabah dibersihkan.

Kunaik ke dalam MH mencari sudut yang lega dari lalulintas untuk membaca kitab suci alQuran. Naskah-naskah kitab suci itu banyak terdapat diatas rak-rak yang disediakan. Ada rak-rak yang dipasang pada tiang-tiang Masjid. Ku dapat tahu selain dari pemberian Kerajaan Saudi, naskah-naskah itu adalah hasil HADIAH dari para jemaah . Aku sendiripun menerima pesanan dari adikku untuk membeli empat naskah alQuran di Makkah sebagai hadiah atas nama dia dan suami serta kedua aruah ibu dan ayah kami. Insyallah nanti akan ku belikan dengan wang yang diberikan kepadaku itu.

Ku sangka “panas hingga ke petang. Rupa-rupanya hujan ditengahari” bak kata pepatah orangtua kita. Posisi yang kusangka lega TUP2 ditenggeki jemaah wanita kiri, kanan dan belakang!. Ape ke he? (expression di sini aja. Disana ku diam!)

Duduklah , bisik hati kecilku sewaktu ku bangun berpindah ke tingkat bawah. (Basement). MH ada empat tingkat. Basement, ground floor (1st floor) , second floor dan rooftop.

Selesai mengaji beberapa surah, ku ke gelanggang semula untuk mengerjakan tawaf sunnat di hadapan Kaabah. Kalau tak silap waktu itu jam pukul 4 pagi. Kaabah tetap tidak sunyi ditemani ramai jemaah mengerjakan tawaf. Ku jangka dalam keadaan yang agak “lega” itu dapatlah ku hampiri Hajaratul Aswad untuk menyentuh Batu Hitam itu kalaupun tidak menciumnya. Tak ku jangka pula baru sahaja hendak merapati penjuru ke sana , aku tersepit dan dihimpit mereka yang berniat yang sama. Dalam keadaan terhimpit-himpit itu talipinggang “askar” yang ke kelipkan ke pinggang tertanggal dan jatuh ke bawah kakiku. Waktu itu aku hanya sempat menyentuh dinding Kaabah sebelah Makam Ibrahim. Kecemasan, kerana terselit di celah-celah talipinggang itu RM300 dab RS500 (yang baruku keluarkan dari Tabung) . Ku cuba berpatah balik ke tempat ianya tertanggal tapi tidak dapat bergerak bertentangan arah dengan arus jemaah. Kukira tawafku terbatallah kerana telah bertukar arah dan juga niat. Namun ku ikut arus jua satu pusingan lagi dengan harapan dapat kembali ke tempat jatuhnya talipinggangku itu. Sambil itu ku panjatkan doa kehadrat Allah s.w.t. sekiranya wang yang kuselit pada talipinggang itu haram, ku redholah hilangpun, “No big deal!” sort of. Akan tetapi (Ya Allah) jikalau wang nya itu halal buatku, pulangkanlah kepadaku.. Mujur baik doaku dimakbulkan . Dapat balik talipinggang itu dari seorang askar yang berada di atas lingkaran Hajar Ismail. Ku lihat memacam barang di tempat itu. Pen, cincin,pouch, ketayap, kain serban dll seumpamanya. KU hampiri seorang askar betanyakan talipinggangku. Dia tak faham. Ku tarik talipinggang yang dia pakai. “Oooo” Baru dia ngerik! Lalu diunjukkan aku talipinggangku yang serupa dengan talipinggang yang dipakainya itu. “Ini?” seolah-olah dia bertanya. “Yaaaa! Ya, Itulah! Shukran! Shukran! Alhamdulillillah!” Aku menjerit gembira. Disitu rupa-rupanya barang-barang jatuh dijumpai jemaah dilempar kepada askar bertugas untuk dikumpul dan dituntut kemudian. Ada pejabat dalam kawasan MH untuk urusan menuntut barang tercicir.

Ku unjukkan kepadanya wang yg masih terselit di talipinggang itu. Selamat. Alhamdulillah. Dua2 sampul duit masih ada disitu. Dia isyaratkan “Baguss!” dengan ibu jarinya. Ku genggam talipinggang itu erat-erat takut terjatuh lagi lantas terus keluar tawaf. Talipinggang itupun tidak ku pakai lagi kerana tidak “secure”. Ku beli “beg perut” (pouch) putih dn berklip sebagai ganti . Kukira tawaf sunat itu terbatal pada pusingan yang kedua. Hm…terbatal LAGIK!

Sebelum ku lanjutkan kesah tadi, teringat aku berjumpa Ustad B untuk memohon penjelasan mengenai TAWAF UMRAH yang terputus (ditolak keluar oleh arus manusia) selepas pusingan ke empat pertamanya (semasa bersama Pak T) dan yang terbatal kerana terkentut selepas pusingan ke tiga semasa tawaf kali keduanya bersama rombongan Tok Sheikh . Apa hukumnya, ustad?

Ustad menjelaskan 4 (empat) pusingan tawaf pertamakali aku itu PLUS (campur) dengan 3 (tiga) pusingan disempurnakan keduakalinya bersama Tok Sheikh sebelum terbatal itu SAH MENCUKUPI 7 ( TUJUH) PUSINGAN yang diwajibkan…DENGAN SYARAT, “antum betul-betul YAKIN” dengan bilangan pusingan (4+3) itu. KU lafazkan keyakinanku itu. Ustadpun berpesan, “Jangan WAS-WAS apa-apa. Jangan panjang-panjang fikir atau bertanya sesiapa lagi selepas sudah yakin.” Jika diragui, bayar DAM lah maknanya. Dengan keyakinan itu maka sah jugalah aku bergunting 3 helai rambutku dan menanggalkan ihram Haji Tamattuk.

Begitulah sebagaimana yang telah ditentukanNya akan diriku ini. Dalam tawaf sunat untuk pertamakalipun terpaksa “cut short” pusingan juga . Akupun tidak mahu menyusahkan kepala otakku memikirkan KENA APA ya??? Dosa dahulu memanglah ada, tak banyakpun, ada jugalah. Tapi “dosa” yangmana satu? Apa yang berlaku bagiku UJIAN Illahi ke atasku semata-mata. Tidak kurang dan tidak lebih daripada itu.

Menantikan subuh menjelma, ku cari tempat duduk jauh sedikit dari mereka yang sedang bertawaf . Mengajilah surah-surah yang patut semula. “Jiran-jiran”ku dikiri ialah Cassim daripada Iran, manakala di kanan Andes daripada Indonesia. Cassim boleh berbahasa Omputih sedikit-sedikit. Dapat juga kami bertukar-tukar informasi mengenai budaya negara memasing. Dia amat berminat akan kitab dan buku doa yang ku baca. Dia mengangguk-angguk bila ku unjukkan kepadanya doa yang ku baca. Lebih dari itu ku hadiahkannya buku doa amalan-amalan Haji yang ada tali gantung ke leher itu . KU beli waktu mengaji di Pondok dulu. Sukanya dier. Diberikannya alamatnya di Iran. Ku berikan alamatku. Ku ada menerima warkah darinya sekali tetapi tak faham sebab ditulis dalam bahasa ibundanya. Insyallah akan ku kirim kad ucapan selamat menyambut Idilfitri nanti.

Semakin dekat menghampiri subuh, semakin ramain jemaah wanita dan lelaki mula berhimpun . Kalau boleh semuanya hendak ke gelanggang berdepanan Kaabah. Bau dan kepala dilangkahi lagi. Kesabaran kita tetap diuji. Apa lagi selain meredhainya?

Habis solat baru terasa lapar. Sepanjangan malam hingga ke subuh, ku banyak minum zam-zam sahaja. Waktu balik ku lalui bazaar . Gerai makanan ditujui. Sarapan ku Cuma kek sepotong dan teh susu secawan, errrkkk! Alhamdulillah. Cukup. RS2 sahaja. Sedang menghabisi minuman tetiba “out-of-nowhere” muncul seorang tok Arab berpakaian segak mendekatiku meminta sesuapan sarapan. Aku pun tak soal apa-apa lantas menghulurkan RS2 kepada nya. Ku isyaratkan kepadanya “beli” sarapan yang sama dengan apa yang ku nikmati. “Tok Arab” itu mengucup tanganku ketika menyambut dua riyal itu, dan kemudian “hilang” . tak nampakpun dia membeli sarapan digerai. Tak nampakpun ke arahmana dia pergi. Tup=tup, lesap.
Lagi sekali aku tak hendak menyusahkan kepala otakku memikirkan yang bebukan. Apa hikmahnya disebalik peristiwa yang ganjil itu bukan untukku mereka-cipta apanya!

Waktu menaiki tangga ke bazar ku bertembong sahabat sebilik. Ku minta dia mengambil gambar aku berlatar-belakangkan Masjidil Haram. Sebelum itu ku lihat seorang mak cik keturunan Russia sedang posing untuk diambil gambarnya tapi ditegah oleh mutawwif. “Gambar kenangan untuk anak cucu..” kuagak katanya merayu. OK. Sekali sahaja, mutawif memberi isyarat jari. Aku pun terlepas juga. Dapatlah ku rakamkan suasana menjelang fajar di Masjidil Haram (MH).

Sahabatku menyerahkan kamera kepadaku. Ku pelawa dia bergambar. Dia menolak dengan baik. Dan mengingatkan aku, nanti jam 8 pagi jangan lupa berada di tempat menanti coach untuk acara ZIARAH . Ah? Jangan bimbang, tambangnya tanggung beres .

Balik ke hotel ku tembak sendiri secara automatik gambarku di bilik 734 dan di ruang legar tkt 7 hotel sebelum bersama-sama. kumpulan menunggu bas untuk ziarah . Sewaktu menunggu itu seorang hamba Allah, orang tempatan menghampiri kami dan membahagi-bahagikan roti murtabak kepada ahli kumpulan. “Halal” Jeritnya riang . Rezki pagi-pagi begini. Memberi makanan kepada jemaah adalah sebahagian dari amalan peniaga=peniaga dan orang tempatan. Malah ada yang menunggu jemaah keluar masjid untuk diagih-agihkan roti dan sebagai-sebagainya.

Bersambung, Insyallah. ZIARAH
Kepada Warga Muslimin dan Muslimat ~ SELAMAT BERPUASA

BENariff
1220/261003


Tue Oct 28, 2003 6:38 pm
PERJALANAN KE RUMAH ALLAH ~ EPISOD KE 23

Ahad 2.2.03. Tour starts at 0845am.
Coach menunggu di seberang jalan, berhadapan KHOSAMA Hotel yang menempatkan Pejabat Tabung Haji. KU dapati ramai dari kalangan rombongan adalah ahli tabliq. Mereka saling kenal mengenali satu sama lain walaupun datang berasingan penerbangan , tempat penginapan dan maktab. Setahu aku mereka sering berhimpun di sebuah masjid di Bukit Jalil. Selain dari itu mereka juga dapat bertemu jemaah-jemaah tabliq dari negara-negara Asia seperti India, Pakisan, dan China. Malah dikalangan negara-negara Timur Tengahpun mereka dapat mengenali melalui identiti mereka yang tersendiri.

Dari nota cakar-cakar ayam yang ku catit dalam perjalanan coach yang tidak stabil enjutannya, dapat ku decypher kan sebagaimana berikut, berdasarkan apa yang disampai kan oleh jurupandu (tour guide) kami, seorang penutut salah sebuah universiti di Makkah. Awal-awal lagi kupohon maaf . Jika sekiranya terdapat kekhilafan fakta, ataupun ejaan (yang ku catit berdasarkan pendengaran semata-mata) harap pembaca yang lebih arif mengenainya dapat perbetulkan. Nak buat “research” akan mengambil masa yang lebih lama. Kuharap memadai dengan rentetan tempat-tempat yang kami lalui dalam ziarah itu.

Tujuan ziarah selain meninjau tempat-tempat bersejarah juga bertujuan mengambil iktibar akan nikmat yang kita perolihi sebagai seorang Islam melalui susah payah Nabi Muhammad s.a.w. selama 13th diuji di Mekah. Ayat Makiah dirujuk. Sepanjang perjalanan pergi balik ke Arafah untuk melihat tempat jemaah akan mengerjakan wukuf, kawasan perkhemahan di Mina dan tiga Jamrah tempat melontar, masjid-masjid dan tempat-tempat bersejarah yang ada kaitan dengan sirah Rasulullah s.a.w. seperti Gua Hira’ tempat Nabi s.a.w. menerima wahyu dari Allah s.w.t melalui malaikat Jibrail, Bukit Jabal THUR dimana Nabi s.a.w. dan Saidina A Bakar bersembunyi dari kepungan kafir yg menentang usahanya mengembangkan agama Islam. Mendaki Jabal Nur pula memakan masa tiga jam untuk sampai ke atas. Ada yang sanggup!

Ketua rombongan selaku jurupandu menceritakan secara ringkas akan sejarah tempat dan peristiwa yang berkaitan dengannya.

Tanah Arafah sekarang juga dikenali sebagai Taman Arafah. Kelihatan hijau dengan rerumput dan tumbuh-tumbuhan, katanya, sebagai salah satu tanda dunia mendekati khiamat. Arafah tempat malaikat turunkan Adam . Jabal Rahmah di 58 Road no 7 tempat Adam dipertemukan Hawa. Suatu tempat disitu terdapat tempat wukuf Nabi s.a.w dimana turunnya ayat Andinakom . Kesah unta yang ditongganginya terduduk tidak tertanggung akan beratnya wahyu yang turun.

Kami ditunjuk tempat Masjid Amirah Ibrahim , manakala Masjid Aquabah pula kini kawasan larangan kerana telah dijadikan markas .Apa kaitannya dengan sejarah aku tak catit pulak. Jabal Korban dimana Nabi Ibrahim melontar syaitan yang menyuruh beliau menyembelih anaknya Ismail. “Nabi Ibrahim melontar kesetanan yang ada dalam dirinya. Apa yang disembeli adalah “nafsu”nya.” .

Tempat Rasul mabit dan melakukan jamak takhir; tempat kutip batu asli ; Wadi Muasir ; Mina ; khemah2 ; tapak dimana tentera bergajah himpun; Wadi Oranah” antara Arafah dan Tanah Haram .; tembok Siti Zubaidah; sempadan tanah haram dan tanah halal. Menurut guide kami, polis menghalang jemaah masuk Arafah menjelang magrib di sempadan Kibas > tembok Siti Zubaidah > musalifah starts here (signboard unggu) kawasan belampu > masjid Mushal Haram > di malam Nabi beruzrah di Gua Hirak > siti Hajar dan Ismail telah tinggal di Masjidil Haram > Rasul saw berasal dari keturunan Nabi Ismail > bas on jalan yang diguna Nabi ke Madinah/Mekah > Muassim di belakang khemah/bukit …. Masjid Khir 70 orang nabi2 sembahyang disini... lembah Mina ... Terowong Muasim … Jamarat Aula ,kawasan melontar Wusqa ... Jamratul Aqabah bawah jejambat... Masjid Ijabah tempat Nabi s,a,w. berdoa selepas pulang dari mengerjakan Haji . Jalan Muhammadah asalnya teroworng . Jama A,la kubur Siti Khadijah > Masjid Jinh dimana Nabi s.a.w.sekembali dari Tais mendakwah Islamkan 10,000 jin > masjid Syajarah dimana terkisahnya pokok yang dipanggil nabi datang dan berselawat kepadanya > end of tour 1036AM


Demikian catatan tempat-tempat yang dilalui dalam perjalanan. Makkah dizaman Rasulullah s.a.w. adalah lembah, bukit bukau dan gunung ganang semata-mata . Teknologi terkini telah merobah wajah nya. Perjalanan yang dilalui dizaman Rasulullah s.a.w. tidak semudah sekarang. Dengan coach nampak dekat sahaja. Kok dengan unta, makan masa berhari-hari juga lamanya. Sayangnya masa yang suntuk tidak mengizinkan kami turun untuk mendekati gua-gua yang bersejarah itu. Kami hanya dapat memerhatikannya dari dalam coach sahaja. Siapa yang mahu memanjat bukit dan gua berkenaan kenalah membuat jadual tersendiri. Ziarah kami sekadar “passing by”. Pun syukur Alhamdulillah, diberi kesempatan menikmatinya. Diakhir tour barulah wang tambangan @ RS20 seorang dikutip dan diserahkan kepada jurutunjuk yang juga penganjur ziarah itu. End of tour 1036am


Balik ziarah . Berehat. Solat zohor di Masjid. Sambong ke Asar dan Maghrib. Tidur sekejap antara asar dan magrib. Dapat menggenapkan 7 pusingn tawaf sunat yang terhutang semalam sewaktu talipinggang terlucut itu. Walaupun sunat, tawaf hendaklah dicukupkan memana pusingan yang terputus. Ku lakukannya di aras pertama walaupun lebih jauh jarak pusingan berbanding digelanggang kaabah. Lebih besar lingkarannya. Tapi selesa walaupun capik . Tidak terkejar-kejar mengikuti rentak arus. Kok terganggupun jeritan tukang tolak kerusi roda minta laluan. Laaju-laju belaka. Mungkin ada lagi trip tempahan yang menanti.

Tawaf kali ini tangisku memanjang lebih-lebih lagi bila baca doa yang diterjemahkan ke Bahasa Melayu. Begitu juga dengan doa solat-solat sunat nya. Lebih dihayati jika kita faham apa maksudnya. Tangisan yang mengiringi doa-doa bukan lagi dibuat-buat . Tidak juga perlu memaksa diri mengeluarkannya. Jiwa dan perasaan terbelenggu dalam kekusyukan. Hati nurani terusik habis memohon dosa-dosa lalu diampuni Tuhan.

Balik ke hotel terpikat dengan gelang tangan emas tiruan yang dijaja. “Buang” RS10 untuk sepuluh uratnya! Oh oh, sejadah itupun agak unik coraknya. Kok keabisan dan tak jumpa lagi seumpamanya kalau tak dibeli sekarang, makanya ku “buang’ lagi RS12. Penyakit “buang-membuang” duit sudah mula menguliti diriku. Ianya menjadi suatu penyakit jika dibiarkan. Pada awal-awalnya “nafsu” bebelanja dapat kubendong tetapi apabila wang tabungan kukeluarkan melebih bayaran DAM Tamattuk, maka dikit demi dikit, Riyal Saudi terbolos jua dari jari jemariku. Baju tidor yang tak pernah aku pakai di rumahpun ku beli sebab terpikat dengan coraknya. Pun dengan alasan tak mungkin terjumpa secantik itu kalau terlepas. Padahal bila balik ke sini, ianya cuma hiasan tergantung didalam almari. Apa yang dipandang menawan di sana, tidak menyelerakan lagi mataku memandang. Janggal pula rasanya hendak dipakai. Kok ada mana-mana anakku berkenan, ambillah.

BERSAMBUNG INSYALLAH .

BENariff

No comments:

Post a Comment

Your comment is subjected to moderation. Thank you.