Monday, June 9, 2008

ANAK PENARIK BECA

Jam dua petang tadi, aku menonton drama di Astro Oasis sebuah drama bernama "Anak Penarik Beca", Jikalau dahulu aku tengok drama di TV yang pelbagai genre itu gitu-gitu saja dan tukar ke channel lain, petang tadi aku menonton drama itu sehingga habis dari jam dua hingga empat petang. Karya penulis Mathias A Ali itu adalah ulangan entah untuk ke berapa kalinya. Maklumlah di Astro sekali sekala sahaja akan muncul drama Melayu yang baru penerbitannya.

Apa yang menarik tentang drama ini ialah messagenya. Paling menyentuh perasaan aku dalam keadaan politik perkauman semasa, ialah hubungan antara kaum dengan sikap tolong menolong yang ikhlas, mesra dan baik sangka antara Rashid Beca dengan tokey kedai baisikal berbangsa Cina , dan penjual cendol berbangsa India. Tapi tidak dengan bangsanya sendiri yang sanggup memukulnya , kerana mengganggap dia talibarut orangputih pada zaman menuntut kemerdekaan tanahair, hanya kerana, becanya dilanggani oleh seorang berbangsa Inggeris pergi dan balik ke rumah residency!

Amat tersentuh perasaanku apabila diceritakan bahawa Rashid yatim piatu sejak zaman budaknya, rajin menolong bapa tokey kedai baisikal itu membersihkan kedainya secara sukarelatanpa mengharapkan balasan tapi atas belas ihsan tokey tua ayah tokey sekarang, diberi roti dan kopi sebagai penggalas perut. Malah lebih dari itu mendapat upah lima sen sehari.

Apabila remaja, dengan lapanbelas ringgit simpanan dari upah lima sen sehari yang dikumpulkannya selama setahun itu, tidak mencukupi apabila dia hendak tempah sebuah beca dari kedai baisikal itu. Tokey tua menyuruh dia simpan wang terkumpul itu sehingga cukup untuk membayar dan memberikan dia sebuah beca untuk kegunaannya mencari rezeki. Persahabatan dengan tokeysekarang itu membawa hinggalah mereka berdua sudah berumur. Malah beca tua Rashid yang kehausan berek bukan sahaja diganti dengan brek baru tapi apa2 kecacatan pada beca itu diperbaiki tanpa apa-apa bayaran. Terharu aku bila Rashid dan tokey Cina yang berkawan lama itu berpeluk-pelukan ketika hendak berpisah.

Begitu juga dengan penjaja cendol yang menumpang sebuah kawasan gerai makan. Sudah lama mereka tidak berjumpa. Dengan air mata yang menitis, si India itu menceritakan betapa baiknya manusia bernama Rashid itu terhadapnya semasa peristiwa 13Mei. Rashid sanggup berdepan dengan Askar Renjer yang menguatkuasa perintah dharurat ketika itu, membenarkan dia dan kawan Indianya itu ke rumah India itu untuk membawa isteri India yang hendak melahirkan anak ke klinik. Namun takdir menyebabkan isteri India itu melahirkan anak di luar rumahnya dan anak itu disambut oleh Rashid. Besar, kerja doktor di Kuala Lumpur

Betapa Rashid sebagai pengayuh beca Pegawai Inggeris yang melanggani becanya, sanggup berdepan dengan orang kampong sebangsa dengannya demi keselamatan pelanggannya. Kesan dibelasah mereka menyebabkan Rashid menderita sakit , capik sebelah kaki hingga ke hari tuanya.

Beca itu bagai bernyawa kepadanya. Hasil mengayuh beca itulah dia membesarkan dua orang anak lelakinya. Anak yang sulung, Kamal sudah kerja pegawai, bawa BMW, mampu menyara hidup kedua orangtua dan seorang adik yang bersekolah, malu, dan tidak mahu bapanya membawa beca lagi lalu dirantaikannya ke tiang rumah.

Hari Rashid memutuskan rantai yang membelenggu beca kesayangannya itulah, Rashid dibawa anak bongsunya, Husin, menaiki becanya melawat tempat-tempat lama yang mengembalikan nostalgia, kenangan berkenal dengan tokey kedai baisikal, dengan India penjual cendol itu, dan rancak bercerita pertemuan dan dipinang sebagai suami kepada isterinya, ibu Husin dan Kamal.

Diakhir cerita Rashid menghembuskan nafas terakhir diatas becanya dalam perjalanan balik ke rumah. Jenazahnya diarak rakan-rakan pemandu beca yang telah dihiasi untuk perarakan sambutan hari kemerdekaan. Rashid tidak sempat mengetuai mereka untuk tahun ke 21 . Dia berbangga dengan surat-surat penghargaan yang diberi Kerjaaan Negeri yang digantung diruang tamu rumahnya.

Tokey kedai baisikal dan penjual cendol kelihatan sugul ketika menepuk-nepuk becanya itu untuk kali terakhir. Sebagaimana juga mereka bertepuk2 bahu satu sama lain semasa hidupnya.

Inilah dia muhibbah, dalam erti sebenarnya melalui sebuah drama yang sangat relevan dengan keadaan sekarang. Melayu, Cina , India, tiada bezanya kecuali agama yang dianuti. Titik persamaan tetap terserlah melalui kemaknusiaan yang wujud pada setiap insan.
Rashid menambat kasih sayang kawan-kawan dari lain bangsa itu kerana dia seorang Melayu yang baik pekerti, jujur dan rajin berkerja mencari rezeki yang halal, biarpun ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Budi yang tidak pernah mengenal erti darjat. Darjat seseorang tidak perlu dipaksakan atas sesiapa. Hanya jauhari mengenal ma'nikam.

Tabik kepada penulis, pengarah dan penerbitnya, selain Astro yang menyediakan slotnya.

No comments:

Post a Comment

Your comment is subjected to moderation. Thank you.