Tue Jul 29, 2003 10:58 pm
PERJALANAN KE RUMAH ALLAH
( Episod.II)
Wang yang didahului sahabatku Hj Mukhtar ku kreditkan kesemuanya balik ke dalam akaun beliau sebaik sahaja mendapat wang ganjaran persaraanku.
Wang tambangku dikembalikan penganjur sepenuhnya kepadaku, tunai, all RM15,000 of them, termasuk wang Riyal Saudi yang kutukar balik.
Ku usung ia di dalam bag galasku. Lama juga aku menimang-nimang apa hendakku kubuat dengan wang sebanyak itu.
Teringat aku akan sabda Rasulallah S.A.W.:
“Barangsiapa yang hendak mengerjakan haji hendaklah dilakukan dengan segera, kerana kadang-kadang datang sakit, ketiadaan pengangkutan dan kadang-kadang terhalang kerana yang yang lain “
“Wahai!” Iblis membisik dihatiku. “Banyak tu. Nak tukar kereta barupun dah boleh. Tengok. Betapa hebatnya kereta yang dipakai jiran-jiran kiri kananmu.” Aku hendak dipengaruhinya.”Tolak sajalah Proton Saga dan Opel Kadette lama tu.”
“Idakpun kaubuat belanja melancung, anak beranak. Bila terakhir kali kau makan angin? Langkawi tak semacam 10 tahun dulu, tau? Macam-macam dah ada…”
“A’uzubillahiminasyyaitonirrajim…” aku meludah ke kiri. “Shaitan! Iblis laknatulah”. Hatiku menjerit. Sambil menyimpan kembali ikatan wang tunai yang tebal itu ke dalam bag galasku.
Hendakkahku tangguh ikut hasutan iblis itu sedangkan kutahu:
Ibadat haji adalah satu ibadat yang sangat besar pahalanya disisi Allah yang dapat disamakan dengan pahala jihad fi sabilillah kerana sepanjang masa didalam ibadat ini memerlukan kesabaran dan melawan hawa nafsu dengan sepenuhnya sehingga anda dapat mencapai haji yang mabrur.
Apatah lagi telah ditanya orang akan Rasulallah S.A.W., apakah amalan yang paling utama yang Rasulallah? Sabada Rasulallah, beriman kepada Allah dan rasulnya.
Dan bertanya orang itu lagi, kemudian apa?
Sabdanya Rasulallah, setelah itu haji yang mabrur….
Dengan ancaman kematian seperti Yahudi dan Nasrani sudah cukup untuk difahami bahawa ibadat haji itu satu amalan paling utama bagi orang orang-orang dibawah ini menunaikan dengan tidak bertangguh-tangguh, iaitu:-
Sifat tubuh badan. Kalau uzur kerana terlalu tua atau sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh, bolehlah diwakilkan kepada oranglain jika ia mempunyai harta;
Jika ia meninggal dunia sebelum dapat menunaikan janjinya sedangkan ia tidak terhalang kerana uzur atau terlalu tua dan mempunyai bekalan yang cukup, maka wajiblah warisnya menyempurnakan hajinya samaada oleh dirinya sendiri atau diberi upah hajinya kepada oranglain dengan syarat dirinya sendiri telah menunaikan fardhu hajinya atau orangyang diberi upah telah mengerjakannya.
Hendaklah jalan yang akan dilalui itu aman;
Mempunyai bekalan yang cukup untuk perbelanjaan sara hidupnya selama dalam ibadat haji pergi dan puloang, dan sara hidup keluarga yang ditinggalkan selama ketiaadaannya;
Hendaklah ada kemudahan-kemudahan pengangkutan, samaada didarat, laut atau udara yang boleh membawanya pergi dan pulang; adapun mereka yang tidak memerlukan pengangkutan, maka wajiblah berjalan kaki.
Tidak ada sebarang halangan seperti peperangan diperjalanan atau penyakit yang menular yang tidak membolehkan mengunjungi tanah suci;
Apabila semua syarat-syarat tersebut telah ada, maka wajiblah menyempurnakan ibadat haji itu dengan tidak ditanguhkannya.
(Kitab rujukan kuliyah)
Ingatanku kembali kepada peristiwa-peristiwa yang menyusuli penantian untuk berangkat ke tanah suci waktu itu.
Surau di taman perumahanku mengadakan majlis doa selamat meraikan ahli-ahli kariah yang akan berangkat ke tanah suci tahun itu. Ada yang akan pergi mengikut tabung, ada yang pergi dengan anjuran swasta, dan kami yang akan pergi melalui pondok pengajian kami sendiri.
Bakal-bakal haji duduk dibarisan hadapan saf dan diperkenalkan satu persatu. Waktu menghadapi hidangan kami duduk dengan pak imam dan AJK surau. Sungguh istimewa layanan yang diberi layak seorang yang bakal menjadi tetamu Allah.
Masakan juga istimewa. Dua ekor kambing ditumbangkan untuk majlis itu. Hj Mukhtar yang dermawan menyumbangkan kambing-kambing itu.
Di rumahku sendiri juga telah kuadakan khenduri. Jiran sebelah seorang caterer menyediakan masakan istimewa secara buffet . Bayaran yang dimintapun rendah, bebanding pelbagai menu yang dihidangkan.
Saudara mara dekat dijemput. Beberapa orang sahabat dari surau kamipun datang. Salah seorang iman surau membaca doa selamat dalam bahasa Melayu. Menangis terisak-isakku dengan derai airmata dan lelehan hingus, entah apa yang terharu sangat aku akan doa yang disampaikan. Absorb habis!
Tetamu memuji kesedapan hidangan. Waktu pulang, ramai yang menyedekahkan wang ringgit. Peluk dan tangis mengiringi perpisahan kerana mereka tidak dapat bersamaku dihari keberangkatan kelak.
Apabila keberangkatan ditangguh dari hari sabtu ke hari rabu, kemudian ke sabtu beriikutnya , minggu ke minggu, adik beradik dan teman-teman lama mula bertanya, kenapa tidak pergi lagi? Begitu juga dengan jiran-jiran tak putus-putus menjengok utk mendapat khabar. Begitu besar perhatian mereka kepada orang yang hendak ke tanah suci.
Disurau pun . Ada yang mengusik kami, “dua ekor kambing tumbang X dua majlis khenduri doa selamat dah selamat, kalian bila pula nak berangkat?”
Seorang saudara ku yang menjengok pula komen, “ mesti ada apa-apa tak kena”.
“Maksud abang ?”
“Barangkali belum cukup syarat kau dijemput ke sana…?”
Kekatanya itu menempiasi hati. Setakat aku seorang tak apa. Memang aku banyak dosa.., bisik hati kecilku. Iman tak banyak mana. Tapi bagaimana dengan 63 orang lagi yang rata-rata dalam ilmu agamanya dan kuat ibadah mereka?
“Visa tak dapat, bang Mat, nak buat macammana?” kataku.
“Itu yang tersurat..” balasnya selamba.” Yang tersirat?”
“Iyer ler tu… Dia barangkali yang belum cukup syarat. Guru mengajar qur’an, dan sekolah agama lagik. 10 tahun lebih tua dariku ! “ Hatiku melepas geram .
Ku urut jambang yang membaluti mukaku. Sejak dari mula mendaftar hingga ke waktu-waktu menunggu yang menggelisahkan, aku tidak bercukur seuratpun . Malah kuberazam selagi tak jejak ke tanah suci, biarlah misai dan janggut tumbuh sepanjang-panjang selagi mukaku mampu menampongnya.
Malah kujarang ke surau. Segan bersemuka dengan jemaah. Waktu tak haji orang memanggil aku “haji” sebab tak tahu nama ku agaknya. Ku diam saja. Harap-harap masin mulut mereka, cepatlah naik haji. Rupanya sekadar “masing” saja. Hajinya belum mau menjadi.
Tapi bila ditanya bila aku buat haji..tak boleh sorok lagi. Kena jawab “belum”. Tu yang segan tuh.
Yang daftar dengan Tabung sudah bertolak. Rancang Ustad MJK nak berhimpun disurau untuk menghantar kami dah lama dilupakan.
Memeraplah diriku solat di rumah. Tidak juga aku keluar kemana-mana waktu itu , takut terlepas berita baik jika secara terserempak diminta bersedia. Bagai nak gila dibuatnyer.
Bila telah jelas tidak ada apa yang hendak dinanti-nantikan, jiran, saudara-mara dan kenkawan yang menjengok hanya mampu memintaku bersabar. Ada hikmat disebaliknya, pujuk seorang. Ada yang mengatakan aku sudah dapat haji kecil kerana segala-gala sudah kusiap dalam beg kulit yang pernah dibawa aruah ayahku mengerjakan hajinya lama dahulu.
Ku dirangkuli perasaan malu yang amat kerana beriya-iya sangat hendak pergi hingga hebuh seluruh pelusuk rantau kepada adik beradik, saudara mara. Itupun kerana dianjurkan orang yang hendak menunaikan haji berjumpa sanak saudara, sahabat tolan memohon ampun dan maaf atas apa-apa kesalahan yang berlaku.
Mulalah ku menghisab diri. Apakah dalam menghebahkan kepergian ku itu terselit unsur-unsur riak? Mungkin secara tidak sedar, ujud bangga diri kerana terpilih dijemput ke rumahNya.
Bertambah malu rasa bila terima hakikat bahawa orang lain yang jauh lebih muda dariku senyap-senyap aja udahpun bergelar “Haji”. Aku dah mencapaii umur bersara baru baru ndak pergi..gah-gah sangat kenapa?
Ramai kenkawan ahli kariah sudah berkali-kali menunaikannya. Hj Mukhtar umpamanya, dah kali ke berapa termasuk perjalanan yang tak jadi, siap daftar isteri dan anak bujangnya sekali.
Tak seganker? Duit yang disedekan sodara mara dan kenkawan nak disimpan ker nak dipulangkan balik?
Terbayang kembali betapa perasannya aku ke surau dan pondok pengajian dengan serban pak haji meliliti kepala…! Sekali sekala memakai jubah Arab yang jiran sebelah hadiahkan waktu dia balik umrah. Yang memuji “gantang”, kusenyum syok sendiri. Tapi yang merenungku semacam terkezut tetiba berjubah berserban ni apahal?
Keperitan tak jadi pergi amat terasa. Hendak ikut rombongan yang sama jika dianjurkan lagi…aku sudah tidak ke sana lagi sejak menarik wangku keluar. Hendak ikut Tabung, huh…barisan jemaah yang menanti terlalu panjang. Tunggulah enam ke lapan tahun lagi baru tiba giliranku…Nak potong Q? Siapa yang boleh menolongku? Pergi sekarang tak boleh bawa isteri bersama kerana anak masih kecil…dan wang tak cukup untuk tambang dua orang. Aaahhh…buntu! Buntu.
Pada hariraya haji tahun itu, di surau kampong isteriku di Selama Perak Takbir Idiladha yang dilaungkan jemaah membuat hatiku teramat sayu. Sepatutnya waktu itu aku menyambutnya di Makkah…bersolat Idiladha di Masjidil Haram…berhadapan Kaabah Baitullah.
Melihat ku berjambang panjang agaknya, pak imam surau ingat aku ni warak sangat, diberinya aku microphone utk menyambung takbir. Waktu itulah airmataku bercucuran . Takbirku tersekat-sekat dikerongkongku. Antara satu bait ke satu bait kuberhenti lama..menahan sebak. Entah apalah interpretasi memasing jemaah bila aku berada disitu. Cepatnya dia balik??
Habis hariraya haji di kampong. Dah nak balik ke KL, sengaja ronda-ronda taman-taman perumaan di Sg.Kob. Banyak rumah kosong untuk disewa. Sewapun murah. Tak sampai duaratus sebulan pun ada. Tapi kecik. Kumenandu ke Taman Teknologi Tinggi Kulim. Pun banyak rumah kosong. Sewa boleh tahan. Yang tepipun baru RM300.
Entah apa yang mendorongku menyewa sebuah rumah disitu. Tuanpunya seorang Dato’ Professor dan Dr. lagi ….dekan satu faculty di UUM. Kebetulan keluarga mertuanya tinggal beberapa deret dibelakang rumahku di TSKeramat. Waktu bapamertuanya meninggal, aku menziarahi dan dia ada disitu. Cuma tak kenal satu sama lain. What a small world.
Lalu tak balik dah aku ke TSKeramat. Antara sebab agaknya kerana “tak ada muka lagi” , makanya aku meninggalkan jenjiran dan kariahku disana…
Begitulah. Sekadar selingan, ringan-ringan dan dramatik sedikit sebelum aku meneruskan ke perjalanan yang sebenarnya. Time tu nanti tak leh main-main dengan kekata lagi, kok makan diri.
Next Change: SERUAN DAH TIBA…this time for real.
(Bersambung )
BENariff
Thu Jul 31, 2003 11:54 am
PERJALANAN KE RUMAH ALLAH
(Episod III)
Ku mulakan episod ini dengan Firman Allah didalam surah AlHaj ayat 27-30 bermaksud “Dan serulah manusia itu dengan mengerjakan ibadah haji, nescaya mereka akan datang kepadamu (Baitullah-il- Haram) dengan berjalan kaki dan dengan berkenderaan berjenis-jenis unta yang kurus, mereka datang dari berbagai-bagai rantau yang jauh. Agar mereka dapat menyaksikan sendiri berbagai-bagai perkara yang mendatangkan berbagai-bagai faedah bagi mereka (serta memperingati dan menyambut nama Allah pada hari-hari yang tertentu) kerana pengurniaannya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan qurban). Dengan yang demikian makanlah dari daging-daging binatang qurban itu, dan berilah makan kepada orang-orang yang susah yang fakir miskin .demikianlah, dan barangsiapa yang membesarkan (menghormati) hukum-hukum Allah, maka yang demikian menjadi kebaikan baginya disisi tuhan.”
Didalam surah Al-Imran ayat 96-97 Allah berfirman yang bermaksud “Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada tuhannya) ialah Baitullah di Makkah yang berkat dan dijadikan pertunjuk hidayah kepada sekelian alam. Padanya ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya, diantaranya ialah) maqam nabi Ibrahim. Dan barangsiapa yangmasuk kedalamnya, aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi baitullah, iaitu barangsiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan barangsiapa yang kufur (ingkar kepada kewajipan mengerjakan ibadat haji itu) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak behajat sesuatupun) daripada sekelian alam.”
Baitullah Oh Baitullah,
Dapatkah aku memelukmu,
Kali ini bebanding kali terdahulu,
Yang telah membuat hatiku tawar,
Terkecewa dengan peraturan manusia,
Cop visa, mem-veto seruan untuk ke sana,
Ku memberontak di dalam hati,
Macamlah kaabah itu dia yang punya.
Kuasa yang ada menyusahkan sahaja,
Banyak sangat syarat yang dikena,
Cukup kemampuanpun tiada gunanya.
Ampunku aku wahai tuhanku,
Hanya dari jauh kumenghadap kiblat
ke arah kaabahmu saja yang kumampu.
Gambar-gambar rumahMu yang kugantung,
Bagai mengamitgamit aku segera kesana….
BENariff
Rumah di TSKeramat. Suatu malam selepas solat isyak.
Sedang duduk di beranda memerhati aktiviti di medan selera yang berdekatan. Kutimang-timang RM15,000 itu ditangan. Ku urut-urut duit-duit itu. Tebal betul.
Sekilas itu hatiku mula berdebar. Apakah sial akan menjengokku semula? Teringat janji yang tidak tertunai,..
7 tahun sebelumnya ku berjanji kepada aruah isteri untuk membawa dia bersama mengerjakan umrah bila dapat bayaran suatu projek drama swasta.
Bila dapat durian runtuh RM10,000 itu, tetiba aku didatangi dua orang hamba Allah di opis, mempromosi skim pelaburan yang kononnya memberi pulangan yang tinggi dalam masa yang singkat. Ku tangguhkan keputusan dan memberitahu isteriku mengenai peluang melipatgandakan wang sebanyak itu. Dapat pulangannya nanti bukan setakat umrah, buat haji bersama pun lebih dari cukup.
Aruah tidak komen apa. Waktu itu rupa-rupanya… daun-daun hayatnya sedang berguguran menanti 44 hari untuk dijemput Illahi.
Dua orang agen itu datang lagi memujuk. Suatu malam ku dipelawa ke pejabat mereka beroperasi disebuah bangunan berprestig di simpang Jalan Imbi/Bukit Bintang. Ku disambut bagai seorang VIP oleh kakitangan disitu.
Semuanya Melayu, muda, bertali leher dan berpakaian kemas belaka. Mereka sedang menghadapi komputer. Mereka sedang on-line berurusan dengan pasaran tukaran wang asing di Newyork, London, Hamburg, Tokyo dan HongKong. Iyer-iyer nampaknya.
Aku yang tak faham apa-apa cukup impressed dengan penjelasan mereka. Apatah lagi diperkenalkan kepada seorang bebangsa Cina yang kononnya dah jadi jutawan segera tetapi ‘kedekut tahi hidung masin’, tak belanjapun mereka.. kononnya. Termakan, ku laburkan RM10,000 iaitu bersamaan USD4,000 (nilai tukaran waktu itu RM2,500 per USD1,000) ke dalam “pasaran”.
Pelaburan lebur dengan wangnya sekali. Umrah kemana, haji jauh sekali. Janji tinggal janji. Padan muka .
Aku kehilangan baki selepas mendapat bonus pertamanya sebanyak RM850.00. Sebulan kemudian timbul masalah perhubungan . Bila ku menyusul ke pejabat itu, ianya sudah disewa orang lain.
Terkilan! Hingga saat ini aku masih menyimpan hasrat hendak melapurkan ke Jenayah Perdagangan Bukit Aman dengan dokumen-dokumen yang masih tersimpan…
Sedang mengelamunkan peristiwa yang ku anggap balasan tuhan kerana ingkar janji, ku terima panggil telefon Hj Suliman bertanyakan samada aku dah daftar dengan Tabung Haji. Musa dan Hj Muktar sudah, dan dia akan mengushakan mereka menunaikan haji musim kedatang (hijrah 1423). Dia yang memulanya terkilan tak dapat bersama kami, selamat mengerjakan hajinya musim itu (1422) . Kini akan mengerjakannya sekali lagi.
Ditanya kenapa nak pergi lagi, dia ibaratkan ibadatnya yang lalu macam rumah baru selapis dicat nak dibalas dengan selapis lagi untuk tambah mencantikannya.
“Jangan fikir panjang2, Eil. Esok awak pergi daftar. Nombor rujukannya berikan kepada saya.” Tegasnya bersungguh-sungguh.
Bimbangkan duit inipun akan menemui nasib yang sama, ku daftar diri dengan TH di ibu pejabatnya. Ku isi borang utk isteriku juga. Walaupun tarikh yang direkodkan ku pergi ialah 6tahun terkemudian mengikut giliran pendaftaran, Tabung akan menimbangkan tahun ini jika ku menulis surat rayuan diatas kegagalan usaha yang dahulu. Itu hanya formaliti, ku rasa.
Tepat sebagaimana dijanjikan Hj Suliman, ku terima surat tawaran TH untuk menunaikan haji pada musim terdekat . Ku ingat that’s everything to it.
Di gerai makan dekat Public Bank Kulim, suatu tengahari.
Ku sedang makan bersama isteri, Hj Suliman telefon . Suaranya kedengaran cemas minta aku faxkan segera jawapan terima atau tidak tawaran kerana tarikh mengesahkannya akan tutup sedikit hari lagi. Jika lambat tempatku akan diberi kepada calon lain.
“Awak tak tahu ke?” tegasnya.
“ Tak perasaan. Ingatkan kalau dah dapat, jadual penderbangan akan menyusul?…”
“ Musa dan HJ Mukhtar dah dapat jadual.
Fax sekarang juga. Saya tunggu di sini!”
Ku catit nombor fax pejabat Pengurus Besar TH yang diberi.
Dengan tulisan tangan disekeping kertas ku bersegera ke kedai gambar terdekat dan bayar RM2.00 untuk faxkan pengesahan menerima tawaran . Harap-harap pejabat TH masih beroperasi.
“OK, selamat terima. “ Hj Suliman telefon balik. “Lepas ni tunggu jadual penerbangan ya? Assalamualaikum.” Ringkas sahaja.
“Waalaikumsalam. Terimkasih Suliman…” kubalas.
“Kaulah sahabatku dunia akhirat” terbisik dihati. Airmataku tergenang terharu. Memang begitulah bila sesiapa sudi menolongku. Ku tak punya ramai kawan, apatah lagi sebaiknya. Dia lebih ghairah mengambil berat mempastikan kepergianku bebanding aku sendiri.
Akhirnya aku terima jadual penerbangan ke sana, 29hb Januari, 2003.
Namun hatiku berbelah bahagi samada hendak pergi sekarang atau tunggu bersesekali dengan isteriku. Wang yang ku masukkan hanya cukup untuk diriku seorang . Tabungn isteriku masih jauh dari mencukupi.
Masih ada masa untuk membatalkan tanpa dikenakan denda. Kiranya dibatal selepas pengesahan terima, kena RM1,000 denda. Jika selepas jadual penerbangan ditetapkan, akan hilang separuh tambang penerbangan. Jika menarik diri disaat-saat hendak bertolak tanpa sebab yang munasabah, lagi banyak dendanya.
“Kalau abang cancel, macammana?” kuberitahu isteri sambil mencari-cari dalih.
“Kenapa?” isteriku bertanya.
“Wang itu sahaja yang tinggal dari keseluruhan simpanan abang….” Jawabku sedikit kesal.
“Habis yang itu… habislah baki segala-gala yang abang perolihi dari bepuluh tahun kerja…Kita simpan sajalah ya? Cemas-cemas boleh juga pakai.” Kucuba meyakinkannya.
Dia terdiam. Tergamam agaknya.
“Kita boleh bayar pendahuluan rumah yang awak inginkan di Kulim tu.” Ku memujuknya.
“Jangan, bang. Jangan. Duit tu asalnya dari perjalanan yang tak jadi dulu. Tak berkat dibelanja ke lain. “ Jawabnya dengan cemas. Aku nampak dia macam nak menangis. “Pergi, bang. Pergi”. Bahuku dicengkam erat.
“ Pergilah sementara abang masih sihat. Fasal rumah biarlah sewa dulu. Pencen
Sampai masanya esok , baru kita fikirkan rumah. Saya boleh keluarkan wang EPF waktu kerja dulu” DiA dah menangis. “Pergilah sebelum duit tu habis.
Memang dah susutpun sebab kukeluarkan utk menokok tambah peralatan rumah yang ku sewa itu. Dia tak setuju kugunakan wang tabung .Aku saja yang gatal jari. Tak boleh ada duit.
Pergi pun pergilah. Pencen bulananku cukup untuk menampung kehidupan. Mana tahu rezeki akan berlipat ganti selepas haji nanti.
Maka bermulalah episod baru dalam kehidupanku. Melangkah ke suatu dimensi
yang akan menentukan samaada akan berlaku keajaiban terhadap diriku. Sememang siapa yang mengerjakan haji mengharapkan diterima ibadahnya oleh Allah dan dikurniakan keberkatan pada umur, kesihatan ,rezeki dan apa segala.
Kuharapkan perubahan diri yang terbaik. Teringat adikku, Awi mengharap aku biasa-biasa saja, jangan sampai ditinggalkan kehidupan duniawi, buang radio, buang tv, buang komputer, sampai jadi pertapaan pulak! Hehehe, ketawanya lucu.
Tak terbayang aku akan sampai ke tahap itu. Pak Yazid yang memberi kuliah sebulan sekali dirumah Hj Mukhtar dulu pernah menamakan iman sesetengah orang yang tidak konsisten sebagai IMAN BELOn. Ditiup kembung, dilepas anginnya, kempis. Biarpun diikat pangkalnya, lama kelamaan kempis jua.
Aku tak nak bepura-pura mengatakan aku tidak. Time kena pam pulun beribadat sampai tak sedar malam siang. Mai time kempis anginnya, hm..nak habis satu waktu empat rekaat pun jenuh mengeliat. (just exegerating, really!)
Untuk mencukup kembali jumlah wang RM9,400 ++ aku mendesak mereka yang meminjam wang denganku supaya tolong jelaskannya segera hutang mereka sebab aku nak top-up tambangku ke tanah suci. Jangan diberi dalih lagi.
Langsailah juga!. Bila dah cukup, saki baki hutang yang kecil-kecil tu, ku halalkan sebab tak banyak. Ada yang kuberitahu ada yang kudiamkan sahaja. Seorang mak haji yang berhutang RM7,000 denganku selama sudah hampir 6 tahun sesenpun belum bayar sesenku. Nak dihalalkan terlalu banyak. Tak bayar semuapun sedikit aku ndak juga jika ada keinsafan dalam hatinya sebelum nyawanya dicabut malaikal-maut.
Beli rumah apartmentku , bil api, air dan telefonpun masih atas namaku. Bil telefon tertunggak banyak tak bebayar, aku di black-list STM. Ya Tuhan, kuserahkan pada takdirMu untuk menentukan. Aku dah jemu mengecek-tagih .
Ku ambil mudah kursus-kursus yang dinjurkan masjid di tempatku. Tapi hadiri jemputan kursus yang diadakan nun jauh di TH Wilayah di Masjid Negara. Bawa anak isteriku berkereta ke KL lagik. Songsang, kan?
Selama dua hari itu kuberi segala tumpuan ku kepada latihamal yang diadakan. Bagaimana tawaf , saei dan melontar jamrah patut dilakukan.
Seorang pegawai perubatan didatangkan dari sebuah hospital untuk memberi ceramah betapa perlunya bakal jemaah menjaga kesihatan ketika disana. Banyakkan minum air, sebab cuacanya kering, katanya. Jaga pernafasan dari debu. ***
Kursus perdana di Putrajaya kutak hadir. Hebat acara yang diatur. Ku dapat tahu replica kaabah didirikan di pusat pentadbiran untuk latihamal yang lebih intensif. Begitu juga replika jamrah didirikan. Saei dilakukan mengikut jarak dan bilangan yang akan ditempuhi nanti.
Serek akan pengalaman dahulu, kali ini hanya adik beradik satu perut ibu dan keluarga dipihak isteriku sahaja yang ku maklumkan. Yang lain-lain biarlah mereka anggap aku dah pergi waktu berjumpa mereka dahulu. Kalau terserempak ku beritahulah aku nak berangkat pada sekian-sekian tarikh. Sampai ada yang menyangka aku pergi untuk kali kedua, berturut-turut.
Kakak dan abangku adalah orang-orang yang paling gembira dengan pemergian ini kerana mereka sudahpun menunaikan 2X haji memasing. Aku yang ketiga dari kami sepuluh beradik yang bakal menyusul.
Ku tanya memacam soalan tentang keadaan disana sewaktu mereka mengerjakan haji. Of course, mereka tak cerita semuanya. Mereka Cuma menasihati aku supaya berhatihati . Mereka bimbang aku yang kuat merungut itu ini tak dapat mengawal berperangai sedemikian di sana.
Bukan semuanya sebaik yang diharapkan, mereka berpesan. Akan ku temui beberapa situasi yang boleh membuat aku bengang dan terlepas komen. Apa dia situasi itu mereka tak nyatakan dengan terperinci.
“Hang pi sana hang tau lah sendiri..” aku diperingatkan.
Suspence…
Memang sejak musim yang tak menjadi kenyataan itu aku dah banyak bertanya. Terkadangannya, sewaktu bertanya itu ini bab haji , kelemahan diriku tak dapat mengelak dari menyelitkan unsur-unsur mengiklankan diri bahawa akupun dah nak menunaikan haji…! Orang berjiwa senilakon ini sekali-sekali tergelincir juga dek gian nak pamirkan lakonannya. Perasan!
Udahlah tu. Jangan terlalu banyak mengutuk diri sendiri. Simpanlah sedikit. Nak simpan apa kalau keburukan diriku boleh dijadikan sempadan.
Memacam juga cerita yang ku dengar tapi tak jelas kerana tak dapat kubayangkan. Kalau nak ku detailkan satu persatu, kot panjang pula dan menjemukan .
· Seorang engineer di projek dalam lawatan kerja dulu pernah bekerja di Riyadh selama 5 tahun lebih banyak menceritakan perangai orang Arab . Yang baik, baik sangat. Yang tidak, tidaklah, ikut rezeki kita. Hanya sedikit saja mengenai ibadah haji.
· Pakndak aku cerita fasal tapak kakinya pecah dan berdarah waktu mengerjakan saie dan bagaimana dia sesat disana.
· Maklong yang pergi bersama menceritakan betapa dia tidak dipedulikan pakndak kerana asyik menjaga makndak. Orangpula yang mengambil berat kebajikannya.
· Kakak menceritakan bagaimana dia tak nampak kaabah sewaktu pertamakali masuk ke dalam masjidil haram.
· Kakak iparku menceritakan bagaimana selepas berdoa dalam masjidil haram, dia dinampakkan Allah akan aruah ibu kandungnya meninggal dunia sewaktu dia kecil.
· Abang pula ingatkan aku jangan menolak jika Arab semawa (pelawa ) makan, sudi-sudikan berkongsi makanan dengannya, waima sekeping roti sekalipun. Kalau menolak biar baik-baik, jangan singgung perasaannya,
· Aruah ayah pernah cerita bagaimana tapak kakinya bagai dibakar api sewaktu berkaki ayam ke tempat seliparnya diletak kerana bersungut akan cuaca yang panas .
· Kakak sepupuku takut tecirit dalam bas yang terhentak-hentak perjalanannya, betul-betul tercirit dalam bas walaupun tak sakit perut apa.
Itu pengalaman diaorang. Yang ku baca dari majallah pun macam-macam kejadian pelek berlaku. Jemaah berperangai macam anjing ketika memasuki tanah haram, jemaah takndak turun bas takut basah stoking kaki akhirnya tersepit kaki dipintu bas hingga terpaksa berkerusi roda mengerjakan haji, kawan jadi lawan, isteri yang penyayang membencii suami yang pengasih, ibu dan anak bermasam muka antara satu sama lain, suami pergi sakit balik sehat tapi isteri yang pergi sehat balik sakit….
Rata-rata semua mereka menyakini Allah membayar tunai akan apa yang kita niat, tutur atau pohonkan ketika di tanah haram. Kalau baik yang diminta baiklah. Kalau tidak terimalah ganjarannya yang setimpal immediately after.
Suami adik ku sampai takut mengerjakan umrah bersama-sama kerana takut akan habuan yang menantinya kerana kerjanya membuat cocktail dan menghidangkan minuman keras kepada pelanggan dan tetamu di pub tempat dia kerja.
KESEMUNYA koleksi kesah-kesah pelek tapi benar yang berlaku di sana membuat aku juga kaget kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku padaku kelak.
Aku akan berserah sepenuh diriku kepadaNya.
Dua minggu lagi bertolak, ku tinggalkan segala kegiatan yang kuminati termasuk bercuti sementara dari relexjap. Ku bungkus PC , monitor, printer dan scanner serta menyimpan segala sofware dan disket-disket dengan selamat.
Menjelang tiba hari berangkat, kubangun malam untuk solat-solat hajat, taubah, tahajjud. Kumohon diberi kesihatan, kudrat dan kemudahan akan perjalananku. Tersenyum bila teringat pesan guruku secara jenaka supaya jangan hanya minta selamat “perjalanan”, pergi dan balik. Yang hendak dilakukan disana ialah pengerjaan haji. Kok nanti perjalanannya OK, pekerjaan hajinya tersangkut! Makanya ku mohon kesemuanya dalam satu package !
Ku pulun habis (kata ‘rangKedah, “full-swing” kata orang di Wilayah) sampaikan bengkak biji mata berjaga malam. Mengaji selepas solat waktu, dan menyambung lagi selapas diantara solat-solat sunat malam, sampai hampir khatam. Siangnya ku tidur berehat.
Petangnya aku berjogging. Sudah lama aku tak jog . Kakiku mula terasa sakit-sakit. Ketika mengikuti kuliyah, tuan guru ada mengingatkan supaya banyak bersenaman dan berjalan sebagai persediaan diri disana. Tawaf dan saei jika dijumlahkan dengan 7X mengelilingi/berulang-alik makan berbatu-batu juga jauhnya . Terus terang kukatakan, kutak mengambil berat sangat pesanan tersebut kerana belum berjumpa lagi dengan orang-orang yang betul-betul sakit kerana berjalan kaki. Takkan Allah nak mendera tetamuNya? Betapa besarnya salah anggapanku itu, nanti akan ku ceritakan.
Isteriku semakin dekat harinya semakin sedih. Maklumlah, abang dia seorang ini akan meninggalkannya untuk 45 hari berturut-turut, satu jangkamasa yang panjang. Hari-hari dia menangis. Waktu tidur dipeluknya aku macam aku pergi tak kan kembali lagi. Kuharap-harappun begitu, biarlah tak balikpun. Sekurang-kurangnya matiku di sana mati dalam iman. Dikebumikan ke lianglahad tanpa soalan mungkar dan nangkir. Iyer ker? Main-main dengan kematian, kau? Idak ler (dak aiih) ..aku choma (cuma) bagitau apa yang pernah ku pernah kudengar dari mulut orang.
28hb Januari, 2003 pagi. Waktu itu aku dah berpindah ke Taman Kenari sebab adik perempuan dan kenkawanku isteriku ramai disitu bebanding di HI-tech yang lengang bengang.
Ku sempat lagi bersalaman dan bermohon maaf dengan jenjiran disitu. Apa yang kukesal sedikit hanya tigaorang sahaja jiranku datang menjengok dirumah untuk mengucapkan selamat pergi dan pulang. Akupun tak mengiklankan diriku hendak ke tanah suci hingga harinya dah dekat.
Terlangsong sebut, hendak mengatalah sedikit tentang jiran-jiranku disini. Harap jangan yang simpan buruksangka sebab aku sekadar melengkapkan cerita.
Diawal-awal pepindahanku kesitu dahulu, aku disambut dengan mesra. Orang Kay-El lah datang kepangkuan-lah katerkan. Adalah sedikit expertise dalam Microsoft powerpoint, excel, words dll. - all self -taught. Aku jadi tempat rujukan kepada jiran yang beli komputer dengan duit EPF tapi tak tahu satu apapun “keajaiban” yang dibekalkan dalam komputer. Tolong buat presentation untuk anaknya yang kerja di kilang . tolong buat poster untuk pertandingan. Tolong buat cover yang “sempoi” utk project paper anak di sekolah teknik. All for free. Kira-kiranya akulah yang paling loaded poketnya. Ada yang tertanya pencen aku berapa ribu duduk dirumah tak payah kerja apa-apa?
Speaking London Beghabuk (petah cakap orangputih) mereka minta aku buka kelas mengajar written dan oral English kepada anak-anak gadis mereka yang bersekolah dalam darjah enam ke tingkatan dua .Yang berdarjah satu dua dan tigapun dimasukkan sekali mentang-mentang khidmat ku beri adalah percuma. Kalau berbayar, mungkin mereka fikir dua kali, sangkaku kerana ku tak kenakan bayaran. Malah ibu-ibupun sepakat nak belajar cakap kerana nak berinteraksi dengan anak memasing sejak english diwajibkan dalam sains dan mathematic.
Ku mengadakan kolam renang bertiup untuk kekanak kecil main-main air bersama anakku. Begelen-gelen air dicurahkan saban hari.
Jauh dari itu aku diminta mewakii zon perumahan mereka dalam pertandingan menyanyi lagu patriotik sambutan Hari Merdeka. Yang lucunya aku peserta tunggal satu Kulim sebab tak ada saingan. Melalaklah kuseorang dengan iringan band. Tak payah rehearse. Bagi “key” , jalan. Kalau diminta nyanyi lagu poppun aku dah ready lagu Jamal Abdillah. Cayalah orang lama ni, versatile you! (NB: Iklan ini tak berbayar)
Mana-mana aku berada, anti-climax tetap berlaku. Lama-kelamaan aku disisihkan dek kerana aku lebih suka tunggu dirumah dari keluar beborak kosong dengan kaum bapanya. Tak reti aku nak “huh-hah-hoi-woi” macam sesetengah mereka sampai dekat maghrib tak bersurai lagi berkumpul di pelantar bawah pokok cherry depan rumahsewaku. Lagipun rata-rata umur mereka separuh umurku. Tambah-tambah aku dah dekat nak kerjakan haji.
Tak kesah sangat sebab kenkawanku ‘ramai” di Relexjap untuk memenuhi masaluangku. Kok ada kawan disitu hanya Pak D dan Pak T yang tua sedikit dariku. Itupun bila berjumpa di surau. Pak D setiap tahun ke Mekah kerana menyelia masakan untuk jemaah package disyarikat dia pegang konterek. Dialah juga yang ku upah mengerjakan badal haji untuk aruah isteriku.
Hajjah juga kau sayang…..
Bebalik perjalanan semula :
Kubertolak dari Kulim ke Selama . Keretaku mati ditengah pekan kerana batery flat. Ku tukar beli yang baru. Dari Selama ke Klumpur dengan keretaku yang dipandu adikiparku. Dia polis marin berpengkalan di Gelugor Penang. Mertua dan isteri dan anak kecilkan ku ikut serta.
Sampai di rumahku di Tskeramat lewat tengahmalam. Adik beradikku sanggup menanti ketibaanku. Lagi sekali aku diingati supaya jaga hati dan jaga lidahku. Jangan celupur dengan sembarangan kata. Kami bebual sampai hampir jam 4 pagi baru mereka bersurai.Kakak kesayangan mencium pipiku sepuas-puasnya sambil menahan diri dari menangis. Adik-adik dan abang ipar berpeluk erat membisikkan selamat mengerjakan.
Insyallah, insyallah, aku akan berhati-hati. Aku juga akan bersabar menghadapi segala dugaan disana. Tawakkalallah.
Harap-harap doaku disini disambut Allah disana.
Ya Allah, hambamu ini terlalu banyak berdosa kepadaMu. Ampunkanlah. Sucikanlah. Terimalah ya Allah akan taubatku .
(bersambung ke Episod IV)
BENariff
300703 0555AM
Sat Aug 2, 2003 12:12 am
PERJALANAN KE RUMAH ALLAH
Episod IV
Bismillahirrahmanirrahim,
Ku teruskan episod perjalananku ini dengan sabada Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: Barangsiapa yang mengerjakan Haji, tidak mencampuri isterinya pada waktu yang dilarang, dan tidak berbuat fasik (maksiat) ia akan kembali bersih seperti pada hari yangdilahirkan oleh ibunya.
Maka berkata Abdullah bin Abbas r.a.: “ketika kami berada di Mina bersama-sama Nabi S.A.W., tiba-tiba datang satu rombongan dari Yaman, lalu mereka berkata, “Ya Rasulullah, beritahukanlah kapda kami tentang fadhilat haji.”
Jawab Rasulullah S.A.W. : “Ya, baiklah, tiap orang yang keluar dari rumahnya dengan niat mengerjakan Haji atau Umrah maka tiap langkah yangdilangkahkannya, akan bergururanlah dosa dari badannya sebagaimana gugurnya daun-daun kayu yang kering dari pohonnya.”
SUBHANALLAH..
Pagi itu aku ke surau solat subuh. Berjumpa kembali kenkawan sekariah. Kami berpelukan . Hj Mukhtar sudah berangkat beberapa hari dahulu. Musa pula akan bertolak dua hari selepas ku. Dia dan HJ Suliman menaiki satu pesawat penerbangan. Hj Suliman membawa isteri, adik dan iparnya bersama.
Aku juga yang pergi bersendirian. Tak ada seorangpun yang kukenal.
Tak apa, nanti kita jumpa disana…disana..disaana..! Itu Cuma harapan.
Selepas solat zohor sekali lagi di surau, dan bersalaman dengan jemaah yang ada, aku singgah ke kedai beli gegula penyegar kerongkong, berus dan ubatgigi. Lelain barang sudahku muatkan ke dalam beg besar yang kubeli baru di Kulim. Beg ayah kutinggalkan sebab kecik.
Ku mandi sunat ihram, dan memakai ihram. Waktu itulah isteriku dapat bersendirian denganku. Kukunci pintu bilik dan menerima peluk cium sepenoh-penuh kasih sayang darinya. Mukaku dibasahi airmatanya. Sesudah puas mendakapiku, isteri mengesat airmata dan turun ke bawah. Ku mengambil wudu’ dan solat musafir.
Ditangga turun, kakak menyambutku dengan seruan “ Labbaikallahummalabaik…” pertama kali melihat aku dalam pakaian ihram. Kusangka dia tak dapat datang .
Beberapa orang jemaah dari surau yang rapat sangat denganku sudah menanti diluar, termasuk Musa dan isteri serta Hj Suliman. Tetiba HJ Suliman menegur talipinggang kulit yang ku pakai mengikat kain ihramku. Dia was-was samada ianya disamak tidak. Kuberitahu yang talipinggang itu kakakku beli di Tabung Haji. Dia bertanya lagi apakah aku yakin kesucian kulit talipinggang itu? Lantas dia mengesyorkan aku menukarkan ke talipinggang kanvas seperti yang dipakai tentera. Disaat-saat itu kumemberi dia sedikit wang dan memintanya tolong belikan talipinggang itu sebab aku tak tahu dimana kedai untuk mendapatkannya. Hj Suliman segera pergi dengan cup-chai nya dan kembali tidak lama selepas itu bersama-sama talipinggang kanvas itu.
Kumohon maaf kepada kakak kerana talipinggang hadiah pemberian ikhlasnya tidak dapat kubawa bersama ke tanah suci. Kakak mengerutkan dahinya kerana kurang senang dengan pendapat HJ Suliman tentang samak.
Anak saudaraku memesan sampaikan “salam” kepada Junjungan Rasulallah. Hj Suliman yang very particular about anything religious itu minta dia melafazkan semula dengan sepenuhnya “assalamualaikum” kepada Rasul. Hj Suliman memang sangat kukenali cukup outspoken dan direct menegur sesiapa saja yang diragui amali agamanya, waima pak imam sekalipun. Orangnya muda lagi . Dia seorang akauntan bertauliah memegang jawatan pengurus kewangan disebuah anak syarikat TH.
Jam menunjukkan pukul 3 petang, hampir. Aku sepatutnya melapor diri di Komplek KJ selewat-lewatnya jam 4.30 petang itu. Hj Mat melaungkan qamat. Memang dia tukang azan disurau. Yang lelain bagai bertafakkur mendengarnya. Aku di usher segera berangkat oleh HJ Suliman dan jangan melayan sesiapa lagi.
Perjalan ke Kelana Jaya.
Ku bertolak satu kereta dgn adikipar, ibumertua, isteri dan anak kami Azizi. Syam, Jaja, dan Nadia mengikuti satu kereta dipandu abang long mereka Zairi. Dah lama kutak ke Komplek. Papantanda ditepi jalan menjadi panduan untuk sampai ke sana. Alhamdulillah, tak sesat. Sewaktu dalam kereta sempat lagi aku menghabiskan sebatang kretek. Ku tahu check-in nanti aku takkan sempat merokok lagi. Ku memang kuat merokok lebih-lebih lagi ketika mengadap PC, membaca mel dan berkarya. Ku bawa sekarton gudang garam merah sebagai bekalan ke sana. Harap-harap tak dirampas kastam di sana.
DiKomplek TH KelanaJaya.
Keretaku dibenar masuk untuk menurunkanku sahaja.Pengiring turun ke car-park diluar. Zairi mengambil beberapa snap-shots dengan kameranya untuk kenangan. Bagai seorang bintang, aku berposing dengan pakaian ihramku bersama-sama isteri dan anak-anak. Mak mertua dan adikiparku segan bergambar.
Ku mengambil beg leher dan beg bimbit beroda yang dengan sticker-sticker yang diberikan TH. Sticker sudah tercatit Maktab 84, TH96, nombor pesawat, ***
Saat berpisah sudah tiba. Isteriku tidak menangis dihapadan anak-anak tirinya. Hanya matanya kelihatan masih merah kesan tangisan di rumah. Azizi biasa sahaja, belum tahu akan ditingglkan ayahnya selama 45 hari. Ku dipeluk dan tanganku dicium oleh anak-anak yang lain dalam perasaan yang terkawal.
Saat kepergian tidak menyedihkan malah amat menggembirakan sekali. I feel great. Cuma apabila Haniza mengekori aku sampai ke pintu masuk bangunan dengan esak tangisnya mengucapkan berulang-ulang kali “Jaga diri, babah. Jangan lupa doakan Jaja.” hatiku sebak. Air mula bergenang dikelopak mataku. Dia “istemewa” bebanding anak-anakku yang lain…
Sewaktu beratur untuk ke tempat menimbang bagasi, ku meninjau-ninjau mereka kalau-kalau masih ada. Nyata mereka telah beredar.
Bagasi ditimbang. Segalanya berjalan lancar. Sememangnya perjalanan lancar dengan izinNya. Kecuali kereta bateri flat di Kulim kelmarin itu.
Tidak berapa lama kemudian akupun menaiki bas. Full speed ahead, di eskot polis peronda ke KLIA. Kapalterbang sudah ada dilandasan. Tak apa nak ku catitkan kerana terlalu pantas. Tanpa menunggu lama kamipun menaiki pesawat. Jam menunjukkan pukul 8.40PM waktu tempatan.
Semasa kuliyah aku diperingatkan:
“Bahawa ibadat Haji yang anda akan lakukan ini adalah satu ibadat yang sangat suci dan luhur dimana anda akan mendapat rahmat yang sebesar-besarya dari Allah Subhanawalaala”.
· Ia harus anda lakukan dengan sepenuh-penuh keikhlasan hati anda, walaupun betapa besarnya ujian dan cobaan yang akan anda hadapi sekalipun anda redha menerimanya, dan anda sanggup bersabar;
· Anda harus membersihkan diri anda lahir dan bathin, bertaubat dari segala kesalahan dan maksiat yang telah anda lakukan dengan sengaja atau tidak sengaja, cara berterang-terang atau cara sembunyi-sembunyi;
· Anda harus beristiqfar sebanyak-banyaknya untuk memohon kemaafan dari Allah dari semua dosa yang telah anda lakukan;
· Anda harus menyelesaikan segala hutang piutng anda sesama manusia dan memohon kemaafannya dari kedua ibu bapa, sanak saudara, sahabat handai diatas segala kesalahan anda lahir dan batin;
· Anda harus membersihkan wang yang anda bawa, jika tidak tersimpan didalam LUTH, dengan mengeluarkan zakatnya, kerana Tabung Haji telah membersihkan simpanan anda itu pada tiap-tiap tahun;
· Janganlah anda beranggapan bahawa pemergian anda ke tanah suci itu, sama seperti anda melancung keluar negeri;
· Jika Allah menghendaki anda meninggal dunia didalam ibadat itu, anda harus redho dengan kehendak Allah itu.”
“Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: Barangsiapa yang keluar dari rumah dengan tujuan mengerjakan Haji atau Umrah lalu ia mati akan diberi pahala baginya pahala Haji dan Umrah sehingga hari qiamat, dan barangsiapa yang mati disalah satu tanah haram, nescaya ia tidak dibawa dan tidak dihisab amalannya dan dikatakan kepadanya masuklah anda ke dalam syurga.”
Lapan jam lagi mendaratlah pesawat yang membawaku di Jeddah.
INSyallah!
LABBAIKALLA-HUMMA-LABBAIK…!
Ku menyahut seruanmu ya Allah!
(bersambung ke Episod V)
BENarif
010803 0000AM
Wednesday, October 21, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Your comment is subjected to moderation. Thank you.