Wednesday, October 21, 2009

Mon Aug 4, 2003 8:15 am

Assaalamualaikum ,
Abang BEN mengadap sekali lagi, dengan Episod ke-V PERJALANAN KE RUMAH ALLAH YANG DISELESAIKAN SEBENTAR TADI. Harap membaca FOOTNOTE diakhir nukilan. Terima kasih.
Wassalam.
Bismillahirahmanirrahim

PERJALANAN KE RUMAH ALLAH
Episod V

Labbaikallah-humma-labbaik,
Labaikala- syari-kala-kalabbaik,
Innalhamda-walniqmata-lakawal-mulk,
La-syari- kalak!

Hambamu datang menyahut panggilanmu, ya Allah.
Hambamu datang menyahut panggilanmu.
Engkau yang tidak ada sekutu bagiMu.
Sesungguhnya segala Pujian dan Nikmat
dan Kerjaan adalah kepunyaanMu.
Yang tidak ada sekutu bagiMu!


Tiada lagi pemeriksaan waktu menaiki pesawat AIRASIA itu kerana semua formaliti telah dibereskan di Komplek TH Kelana Jaya.

- Beg pakaian sudah ditimbang dan diangkut ke dalam perut pesawat. Paspot Hijau,tiket dan boarding pass diserahkan.
- Di Dewan Berlepas taklimat dan pesanan terakhir telah diberikan termasuk mengulang-maklum akan aturcara perjalanan dari Komplek ke KLIA, sewaktu dalam pesawat, tempat Miqat untuk niat Haji, hinggalah sampai ke Jeddah . Kami akan dibawa terus ke Kota Makkah dari Jeddah . Tidak akan ke Madinah seperti jemaah-jemaah penerbangan awal. Hari Wukuf di Arafah Cuma 11 hari sahaja lagi.
- Penukaran wang tunai Ringgit ke wang tunai Riyal Saudi (SR) dibuat bagi yang berhajat di kaunter-kaunter yang disediakan di dewan itu. Pengeluaran wang dari tabung hanya boleh dibuat di pejabat Tabung di Kota Makkah dengan hanya menunjukkan Kad Pengenalan Jemaah Haji atau Kad Rawatan Kesihatan memasing sahaja.
- Promosi barang-barang tertentu keluargan TH seperti beg sejadah juga diadakan dan dijual.
- Periksa beg galas masing-masing. Pastikan semua dokumen-dokumen pengenalan diri disimpan di dalamnya . Jaga beg itu seperti nyawa anda. Jangan cicir atau hilangkan. Kami diperingatkan. Antara yang terpenting ialah Kad Rawatan Kesihatan . Didalamnya terdapat rekod-rekod pemeriksaan doktor . Jika berpenyakit, jenis penyakit (jantung, darah tinggi, kencing manis, lelah, gaut dsb), jenis rawatan yang diterima dan ubat-ubat yang dimakan. Kalau penyakit didapati bertambah teruk, pemergian boleh dibatalkan.

Beg disilang ke bahu tapi ramai yang menggantungnya ke leher dan clip ke pinggang agar lebih “secure”. Pastikan juga rantai pengenalan diri dipergelangan tangan rapi ikatannya . Rantaiku terlucut kerana tidak diselak dengan rapi sewaktu mengheret beg besar ke tempat timbang, Aku hanya sedar bila seorang petugas memanggil namaku dan mengembalikannya kepadaku.
OK semuanya ada. Apa lagi?

Pastikan tiada barang-barang yang dilarang naik pesawat dibawa. Pihak TH juga telah menyenaraikan didalam risalah yang disertakan dengan surat jadual penerbangan itu barang-barang yang dilarang dibawa naik ke pesawat selain dari yang di larang Kerajaan Saudi Arabia terutama risalah-risalah dan gambar-gambar yang berkaitan dengan politik Senjata seperti pisau dan lain-lain benda-benda tajam yang boleh dijadikan senjata lagi tak boleh! Itu piawaian yang setara bagi mana-mana penerbangan sejak kejadian September Sebelas. Kelip dan pengasah kuku. Pisau cukur pun termasuk . Kok nak bawa juga, masukkan ke beg pakaian. Botol minuman pun dilarang demi keselamatan penumpang.

Sewaktu mengisi pakaian dalam beg besarku, aku teringat “tips” yang diberi seorang sahabat untuk mengelakkan masalah di kaunter kastam Jeddah. Maka ku tindihkan bebarang dalam beg besarku dengan meletakkan kain sejadah di-atas sekali hingga melindungi pakaian dan barang-barang yang kubawa, kononnya pemeriksa tidak akan menyelongkar ke dalam beg sebaik ternampak kain sejadah kerana berbaik sangka sesama ummah, apatah lagi yang datang untuk mengerjakan ibadat. Malah akan mendokan kita mendapat Haji Mabrur!

Lebih dari itu ku terjumpa dalam beg Haji ayah dulu, secebis kertas berbalut plastik merupakan doa untuk “menggelapkan” pandangan mata pemeriksa. Baca dan hembuskan ke arah pemeriksa. Kalau doa tak hafal , memadai disimpan didalam beg dan dengan izin Allah, terelaklah dari dirampas barang-barang tertentu yang dibawa. Wallahua’lam! Sekadar ikhtiar. Tak pasti aku samaada makanan kering seperti serondeng, dan makan segera seperti ketupat dan lelain dilarang bawa ke sana.

KLIA PENERBANGAN KT96 PESAWAT AIRASIA FLIGHT AK4132 RABU 29.01.2003
Jemaah bergegas-gegas menaiki pesawat. Sepanjang jalan beberapa orang petugas TH dan KLIA berbaris mengucapkan selamat berangkat, semoga mendapat Haji yang MABRUR.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: Haji yang mabrur itu lebih baik daripada dunia dan apa yang ada padanya, dan Haji yang mabrur itu tidak ada baginya balasan melainkan SYURGA.

Dan sabdanya lagi (bererti): Orang-orang yang mengerjakan Haji dan Umrah adalah UTUSAN ALLAH Azajawalla dan para pengunjungNYA. Jika mereka meminta kepadaNYA nescaya diberikanNYA, dan jika mereka berdoa nescaya diterima doa mereka, dan jika mereka meminta syufaat nescaya mereka diberi syufaat.

Amin.

HAJI MABRUR adalah tingkatan haji yang sangat tinggi mulia dan terpuji disisi Allah, selama seseorang itu tidak merusakkannya, tidak dinodai dan tidak dicampuri oleh sebarang dosa, tidak melakukan maksiat, tidak mencela mencerca, tidak mengumpat mengeji dalammasa mengerjakan ibadah Haji itu, atau semasa berada di Tanah Suci atau setelah kembali ke tanah-air.

Pendeknya, seorang yang telah menunaikan fardhu Haji, ialah seorang yang telah merubah sikapnya, kelakuannya, akhlaknya, pakaiannya, pergaulannya, supaya tetap murni, dan sesuai dengan hukum dan ajaran agama.

Apabila sikap, kelakuan akhlak, pakaian dan pergaulannya tetap berada ditahap yang mulia dan terpunji, maka itulah tanda-tanda haji mabrur itu.

SUBHANALLAH! .
Semoga aku memperoleh Haji yang Mabrur, Insyallahi Taala.

Bertentangan dengan Haj Mabrur ialah HAJI MARDUD.

Adapun yang dimaksud dengan Haji Mardud itu ialah haji yang tidak di terima Allah, disebabkan oleh sikap, perbuatan, akhlak dan pergaulannya yan bertentangan dengan kehendak dan ajaran agama malahan tidak sanggup menahan dirinya dari melakukan maksiat dan dosa samaada selama didalam ibadah haji di tanah suci dan juga setelah kembalinya ke tanah air.

Sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.: Tidak diterima kedatanganmu dan tidak bahagia bagimu, hajimu ditolak dan tidak diberi pahala. Kerana itu setiap yang hendak menunaikan fardhu haji itu hendaklah belajar dan memahami hikmah-hikmah atau rahsia-rahsia yang terkandung didalam ibadah haji ini, bukan seperti hanya ikut-ikutan atau memandang ringan terhadapnya.
( rujukan buku bertulisan Jawi “Kuliyah Ibadat Haji Dan Umrah” oleh Dato’ Hj Othman Abdullah )

ASTAQFIRULLAH…

Dengan perasaan bimbang kumohon padaMU, ya Allah, apa yang terbit dari penulisan aku yang jahil mengenai PERJALANAN KE RUMAH MU ini tidak menjerumuskan aku kedalam gulungan mereka yang “mencela mencerca, mengumpat mengeji , setelah kembali ke tanah-air”.

Jelaslah kenapa tidak ramai mereka yang kembali ke tanah air selepas mengerjakan Haji memilih menyepi dari memperkatakan pengalaman yang dilalui mereka di sana , kelak risiko memperkatakannya boleh menyebabkan Hajinya tidak di terima Allah, disebabkan oleh sikap, perbuatan, akhlak dan pergaulannya yang bertentangan dengan kehendak dan ajaran agama malahan tidak sanggup menahan dirinya dari melakukan maksiat dan dosa jika sekiranya terdapat unsur-unsur “mencela mencerca, mengumpat mengeji , setelah kembali ke tanah-air”.

FOOTNOTE:
Notice Peribadi Kepada TM dan Warga Relexjap/Pembaca PERJALANAN KE RUMAH ALLAH
Kumohon pandangan kenkawan yang arif dalam persoalan sebegini, samaada ku harus teruskan atau berhenti kiranya apa yang bakal ku nukilkan selepas ini kelak akan menyebabkan Hajiku tidak di terima Allah. Ini adalah kerana dalam keghairan untuk melengkapkan cerita ku tidak dapat mengelakkan jejariku dari menyentuh-komen-mengulas apa yang ku perhatikan dan apa yang telah ku lalui dan alami , tidak kecuali apa-apa yang boleh ditakrifkan sebagai “yang jelek”.

Tidakkah nanti dijatuhi hukum mencela-cerca dan mengumpat-keji sebagaimana tertera dari petikan diatas?? Takut ooooo.

(Akan Bersambung jika wajar)
Wassalam

BENariff:
040803/7.52AM



Fri Aug 8, 2003 2:06 am
PERJALANAN KE RUMAH ALLAH Bhg. VI

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah berkat insan-insan yang hati nya digerakkan Allah menyokong dan menunjukkan jalannya, kuteruskan PERJALANANku ke Rumah Allah, Insyallah.

“JIKA anda diizinkan oleh Allah, anda akan dapat mengunjungi Baitullah-el-Haram yang terletak ditengah-tengh lembah kota suci Makkah yang telah diasaskan binaanya oleh Saidina Ibrahim dan anaknya Saidina Ismail Alaihimussolatuwassalam beberapa ribu tahun dahulunya.”

Segala nasihat telah diberi perhatian, antaranya
Sentiasa berada ditempat duduk;
Tidak berebut-rebut jika ke tandas. Gunakannya dengan betul, jangan menyangkung diatasnya sebab duduk pun sudah selesa. Flush sesudah digunakan.
Gunakan air dengan jimat jangan sampai membasahi lantai tandas.
Boleh gunakan kertas tisu untuk bersuci sebelum gunakan air dengan cermat jua.
Jangan lupa menguncikan bilik tndas sewaktu berada di dalamnya.
Dilarang menghisap rokok di dalam tandas. (Setakat nak gonggong tanpa api saja tak salah. Takkan dah tak tahan diuji? Tapi bawa lighter atau mancis dilarang keras.)
Makanan dan minuman yang halal akan dihidangkan dengan percuma.

Selain dari itu:
Perbanyakkan zirullah dan talbiah disepanjang penerbangan;
Berikan bantuan kepada orang-orang tua yang perlu bantuan ;
Hidupkan semangat ukhwah as-salamiah menuju redho Allah;
Jangan terlalu mengutamakandiri sendiri.

DALAM PESAWAT – PENERBANGAN KE JEDDAH.
Dipintu masuk , kami disambut dengan sopan dan santunnya oleh petugas, hosts dan hostesses. Tempat duduk ditentukan mengikut warna boarding pass. Agaknya supaya jemaah tidak berebut tempat. Yang datang bersama ahli keluarga tidak terpisah dapat duduk setempat .

Aku diunjukkan sebuah kerusi yang kosong untuk jemaah yang pergi seorang . Nasib akulah, kemana-mana bolehkata sentiasa keseorangan….nasib ! Tempatnya di barisan hadapan, belakang kabin krew. Ruang menyandar dan berlunjur juga amat selesa…syukur ! Ku beri salam kepada jemaah lelaki yang duduk disebelah kiriku ditepi tingkap. Diapun nampaknya solo-molo jugak. Mudah-mudahan mahu dia berkawan dengan ku, kalau kami ditakdirkan satu maktab.

Tengah sedap berlunjur, anak kapal datang bertanya kalau-kalau aku boleh korbankan tempat duduk itu untuk seorang jemaah yang warna kadnya mungkin tak sama tapi hendakkan tempat duduk dekat kenalannya yang duduk beberapa baris di belakang. Habis saya hendak duduk dimana? Di atas. Dia menunjukkan ke arah tangga lingkar. Oh…pesawat dua tingkat.! Tempat duduk itu di bahagian perutnya, rupanya.

Oklah, aku beralah. Jangankan dalam pesawat. Dalam bas atau keretapi pun sering mengorbankan keselesaan dudukku untuk sesiapa yang kutakrif amat memerlukan – biasanya orangtua atau perempuan mengandong dan mengendung anak. Dulu, tiket keretapi mel malam tak ditetapkan nombor tempat duduk? Masuklah ke dalam gerabak-gerabak mengikut kelas masing-masing selagi ada penumpang nak naik sampai sendat macam tin sardin, kata orang. Aku sanggup berdiri di ruang pemisah antara gerabak sekalipun. Muda-muda dulu bolehlah. Dah bersara ni baikpun berpada-pada saja. (NB: Iklan ini tidak berbayar ~ ikhlas!)

Lantas ku bangun ikut anak kapal itu menaiki tangga ke atas. Kira-kiranya dah penuhlah sebab hampir semua jemaah dah bertempat duduk memasing. Mana hendak dapat kerusi macam dibawah lagi. Duduklah aku kerusi di tepi tingkap dekat sayap pesawat sebelah kiri. Dihimpit antara bebaris kerusi depan belakang. Ruang lunjur dan sandarpun terhad. Tak apalah , dah nak jadi rezeki aku untuk rezki orang lain. Lagipun aku dalam perjalanan untuk mensucikan diri? Itupun ketentuan Allah. Redho sahajalah.

Airhostess antarabangsa. Melayu, Cina dan Australian. Hostess perempuan memakai scarf menutupi kepala. Semua formality penerbangan telah disempurnakan . Makanan dihidangkan tiga kali (kalau tak silap) sepanjang tempoh penerbangan. Semuanya serba sejemput – nasinya, ayam/dagingnya, sayurnya dengan sepotong roti, kek, dan buah – inikot yang orang kata “pemakanan seimbang”. Minuman boleh pilih kopi, the atau air kosong.

Poskad diberi jika kita ingin kirim khabar kepada sesiapa. Bayaran pos percuma. Ku kirim satu kepada abang sebab dia memesan. Dia juga memesan kukirim poskad dari Makkah dan Madinah. Abang pada mulanya seperti tak percaya hingga minta melihat sendiri jadual penerbangan!

Bila lengoh , pandai-pandai adjust kaki , bersilakah, mengiring ke kiri ke kanankah. Maklum, aku ni diabetics milletus Bawa ubat untuk menambahkan insulin. Yang ku bimbangi, kaki kiriku. Terasa sakit hingga ke pinggul akibat last minute jogging! Urat-urat terkezut.

Pemuda disebelah kananku nampak steady-meady saja duduknya tapi asyik mengenyeh (menghembus) hidungnya. Selesema barangkali. Ku ulurkan dia sebutir gegula angin yang ku standby untuk sakit tekak, dan selesema. Alhamdulillah, selepas dua butir, diapun lega. Lawak juga dia bila suruh aku buka tingkap untuk buang kertas balut gula-gula itu.

Secara kebetulan diapun pergi berseorangan. Kami jadi karib tanpa perlu bertanya latar-belakang satu sama lain. Kedua-duanya hamba Allah yang telah mendapat seruan menunaikan Haji. Kecik besar tidak menjadi ukuran.

Akrabnya kami sampai berkongsi satu pisau cukur untuk menarah semak samun dibawah hidung dan dagu sebelum memasang niat Haji masing-masing. Al-maklum , selepas niat Umrah atawa Haji nanti di larang bercukur apa-apa bulu di bahagian badan hingga selesai mengerjakan mana-mana. Kalau niat Haji ketika itu, maka panjang berjambanglah dagu dan misai selagi belum TAHALUL AWWAL.

Dia nak kerjakan HAJI IFRAD. Aku pula akan membuat keputusan bila pesawat melintas QARNUL MANAZIL iaitu MIQAT tempat memasang niat semasa dalam penerbangan itu.

Aku ada dua pilihan. Jika memilih HAJI TAMATTU’ aku akan mengerjakan ibadat UMRAH terlebih dahulu, kemudian baru mengerjakan ibadah Haji. Sebaliknya jika memilih Haji IFRAD , mengerjakan ibadah Haji dahulu, kemudian Umrah. Of course dalam musim Haji.

Satu lagi cara ialah Haji QIRAN, pilihan mereka yang tiba di Makkah pada HARI WUKUF dan (just-in-time) sekaligus mengerjakan (Haji dan Umrah ) .

Kenkawan setaman dan sepondok ramai memilih Haji Ifrad kerana itu yang paling afdal jika mampu mengikuti pantang larangnya . Dari awal-awal lagi itulah ingin ku lakukan, walaupun aku diingatkan bukan calang-calang orang yang sanggup menghadapi ujian dan pantang larang ketika dalam berihram.

Majoriti yang mengunjungiku atau dikunjungiku menasihatkan aku Haji Tamattu’ sahaja. Abang ipar yang udah beberapa kali pergi pun memilih Haji Tamattuk’ inikan pula aku yang baru pertamakali. Kalau dua tiga hari sebelum wukuf, boleh juga gagah, tapi kalau 11 hari lagi, “boleh bertahan ker?” Risikonya DAM.

Timbul juga pertanyaan dibenak hatiku, kenapa iya? Aku ni kurang “calang-calang” orangnya ker?

Apa pula susahnya, aku bertanya . Lainlah yang membawa isteri memasing!
Isteriku tak ikut bersama. Jadi tang mana yang nak terbatal, tang mana yang nak dikenakan dam? Maha Suci Allah, aku mengucap Astagfirullah, bila tersedar diriku dah cakap takbur…mendahului apa yang belum ku pasti akan terjadi,kerana Allah bakal menentukan.

Namun ku sediakan 2 helai kain pelaikat yang telah kutetas jahitannya sebagai pakaian tambahan jika berihram Ifrad. Akan ku pakai di tempat penginapan samada untuk tidor atau untuk qadho’ hajat. Membasuhnyapun senang bebanding ihram biasa . Kain ihram biasa itu akan dipakai kalau hendak mengerjakan umrah sunat, kerana warna putih lebih afdal.

Dua pasang kain ihram yang ku bawa itu adalah hadiah wakil rakyat kawasanku dalam satu majlis meraikan para jemaah dalam kawasan DUN nya, alhamdulillah. Sepasang waktu perjalanan yang tak jadi dulu dah sepasang lagi tahun perjalanan sebenar. Semoga penyumbang diberkati Allah S.W.T. jua.

Apabila diumumkan kami akan menghampiri QARNUL MANAZIL, tempat MIQAT sampailah saatnya untuk berniat. Disaat-saat itulah aku membuat keputusan .

Akur dengan nasihat ramai aku mengangkat niat. “ Sahaja aku mengerjakan UMRAH dan aku berihram dengannya, kerana Allah Taala.”

Dengan berniat ihram Umrah itu bermulalah akan diriku pekerjaan ibadah HAJI TAMMATU’

Itulah ketentuanNYA.

(Insyallah, akan bersambung)
Wassalam
BENariff
080803/0206AM



Aug 10, 2003 10:28 pm
PERJALANAN KE RUMAH ALLAH Bhg.VII


Bismillahirrahmanirrahim,
“Ya Allah! Engkaulah teman dalam perjalanan dan
Engkaulah Penjaga keselamatan kaum keluarga, hartabenda, anak cucu dan sahabat handai.
Ya Allah! Peliharalah kami dan mereka dari keburukan dunia dan kerusakannya.
Ya Allah! Sesungguhnya kami bermohon kebaikan dan taqwa dalam perjalanan ini
dan juga amalan-amalan yang Engkau redai.

Ya Allah! Kami bermohon supaya didekatkan dan dimudahkan perjalanan kami dan
kurniakanlah kami disepanjang perjalanan ini keselamatan tubuh badan, agama dan hartabenda. Sampaikanlah maksud kami mengerjakan Haji
dan Mengunjungi kubur Nabimu Muhammad S.A.W.
Ya Allah! Seseungguhnya kami berlindung denganmu
daripada segala mara bahaya didalam perjalanan dan perkara-perkara yang mendukacitakan. Jauhilah buruk pandangan pada kaum keluarga,
harta benda, anak cucu dan sahabat handai kami.

Ya Allah! Letakkanlah kami dan mereka sekelian dalam pemuliaraanMu.
Janganlah Engkau lucutkan nikmat Mu dari kami dan mereka.
Janganlah Engkau mengubahkan kesihatan yang ada pada kami dan pada mereka,
wahai Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang…”Maksud Doa Musafir.

Kawan disebelah sedang mentelaah doa-doa dari buku panduan haji. Yang pendek-pendek senang diingat. Yang panjang-panjang kenalah pegang buku dan membaca doa-doanya sambil mengerjakannya . Doa-doa dalam bentuk kartu atau yang dicetak dalam buku kecil pun ada. Tak hafal tak apa. Boleh hafal lagi baik. Yang penting, pergerakan yang dilakukan sempurna.

Ku ulang kaji apa yang perlu aku lakukan . Bagaikan akan menghadapi peperiksaan akhir penggal! Dah banyak kali bacapun dok tak betul-betul lagi.

Tahu-lah Haji pada syara’a ialah mengunjungi Baitullah al Haram dalam bulan-bulan Haji kerana mengerjakan tawaf, sa’ie, dan wuquf di ‘Arafah dengn menurut syarat-syarat serta menunaikan segala rukun-rukun dan wajib-wajibnya.

Tahu, Umrah pada syara’a ialah menziarahi Baitullah al Haram bila-bila masa kerana mengerjakan tawaf, sa’ie dengan menurut syarat-syaratnya serta menunaikan segala rukun-rukun dan wajib-wajibnya.

Dan perbezaan yang jelas di antara kedua-duanya ialah bahawa Haji itu boleh dikerjakan dalam bulan-bulan Haji sahaja iaitu mulai daripada 1 Syawal hingga naik fajar hari 10 Zulhijjah. Manakala ‘Umrah pula boleh dikerjakan pada bila-bila masa sepanjang tahun kecuali bagi orang yang dalam ihram dengan Haji. Umrah tidak ada wuquf, Mabit di Muzdalifah, di Mina dan melontar jumrah.Simple enough!

Pun tahu bahawasanya Haji dan Umrah adalah wajib di dalam seumur hidup sekali sahaja . Sunat dikerjakan berulang-ulang kali. Ianya difardukan ke atas setiap orang Islam yang baligh, beraqal, merdahika (bukan hamba) dan berkuasa samaada lelaki atau perempuan.

Bagi seseorang perempuan ia disyaratkan pergi bersama-sama dengan suami atau mahramnya atau perempuan yang “thiqat” iaitu yang dipercyai dan ia tidak berada di dalam eddah. Jika bersuami kena minta izin suami. Jika peargi tanpa izin suami, sah Hajinya tetapi berdosa kerana ingkar suami. Jarang suami tidak mengizinkan…termasuklah isteri ku suatu hari nanti, Insyallah.

Bagi aruah isteri pertama, telah kuwakilkan untuk mengerjakan Hajinya kepada Tuan Haji D. Ku telah bayar upah/ Badal Hajinya sebagaimana diletakkannya sebelum dia berangkat pergi.

Mengikut hadith yang diriwayatkan Ad-Darul Qutni Rahimahullah : “Sesiapa yang mengerjakan Haji untuk bapanya atau ibunya maka sesungguhnya ia telah menyempurnakan Haji untuknya dan baginya pahala sepuluh kali Haji.

Dan diriwayatkan daripada Ibni Abbas r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan Haji untuk seseorang yang mati nescaya ditulis bagi orang yang mati itu pahala satu Haji dan bagi yang mengerjakannya pula pahalanya tujuh kali”

Hendak bawa anakanak bersama, bawalah kalau dah mampu. Dari buku Soal-Jawab Ibadah dapatlah kutahu:
Tidak wajib ke atas kanak-kanak yang baligh menunaikan Haji. Bagi yang mumaiyiz (tahu menbezakan antara kotor dan bersih), tahu kerja-kerja Haji dan membuatnya sendiri, maka Hajinya sah tetapi tidak mengggugurkan fardu Haji dirinya. Ia boleh berniat Haji bagi dirnya dengan syarat diizin oleh bapa atau walinya.
Jika kanak-kanak itu belum mumaiyi dan ada bersama-sama bapa atau walinya maka bapa atau walinyalah yang meniatkan dan melakukan kerja-kerja Haji bagainya. Bapa atau wali hendaklah berniat dalam hatinya dengan menjadikan anak/tanggungannya berihram dengan berlafaz (niat): sahaja aku berihram dengan ihram Haji untuk anakku/tanggunganku kerana Allah Ta’ala. Kemudian anak/tanggungan itu hendaklah dibawa bersama untuk berwuquf, bermalam di Muzdalifah , bermalam di Mina dan dicukurkan. Hendaklah kerjakan untuk dirinya sendiri tawaf, sa’ie dan melontar sebelum mengerjakan bagai anak/tanggung yang belum mumaiyiz itu. Jagalah anaknya itu dari melakukan perkara-perkara yang dilarang dalam Ihram. Jika melakukannya pun tidak dikenakan fidyah (Dam). Tetapi bagi kanak-kanan yang mumaiyiz wajib disempurnakan Dam.
Haji yang dilakukan oleh kanak-kanak itu adalah Haji sunat yang tidak menggugurkan Haji fardunya. Ini bererti apabila dia baligh wajib atasnya mengerjakan Haji fardu atas dirinya. Ibu atau bapa yang melakukan Hajinya mendapat pahala. Dalilnya terkandung dalam hadith yang dikeluarkan oleh Abu Isa At Tarmizi dengan katanya: seorang perempuan telah mengangkat akan anaknya yang lelaki kepada Raululullah s.a.w. serta berkata Ayuhai Rasululullah adakah bagi anak ini Haji? Jawab Rasulullah s.a.w. “Ya, dan bagi puan pahala.”

Aku selalu terkeliru bila menjawab pertanyaan tentangRukun Haji dan Wajib Haji. Aaah sekarang barulah jelas.

RUKUN Haji ialah pekerjaan asasi yang mesti dilakukan setiap orang yang mengerjakan Haji dan sekiranya salah satu daripada rukun Haji itu tidak dikerjakan sama ada secara sedar atau tidak ibadat Hajinya tidak sah.

WAJIB Haji pula maksudnya ialah perkara atau pekerjaan yang wajib dilakukan ketika mengerjakan ibadat tersebut. Jika tidak dikerjakan salah satu daripada perkara-perkara wajib Haji itu maka Hajinya sah tetapi wajib ke atasnya Dam serta berdosa jika ditinggalkan yang wajib itu dengan sengaja.


Juruterbang megumumkan beberapa jam lagi kami akan sampai ke Jeddah.
Waktu itu pesawat berada di atas negara India jika tak silap. Ku jenguk-jenguk ke tingap tapi tak nampak apa-apa kerana kegelapan malam. Apabila pesawat terbang rendah maka dapatlah ku lihat lampu-lampu berwarna warni di bawah. Apakah itu lampu-lampu yang menerangi Masjidil Haram dan jalanraya-jalanraya di sekitar Kota Makkah?

Tak dapat dibayangkan betapa bersyukurnya aku dapat akhirnya menjejak kaki ke bumi Makkah tidak beberapa lama lagi. Mulutku tak henti-henti bertalbiah. LABBAIKALLA HUMMA LABBAIK..! Ku datang menyahut panggilanmu. Tiada lagi ingatan ku akan peristiwa-peristiwa yang ku tinggalkan kebelakang.

KHAMIS 30.1.2003 JEDDAH menjelang subuh..

Alhamdulillah pesawat yang menerbangkan kami selamat mendarat di lapangan terbang yang paling sebuk didunia ketika musim haji Lampu-lampu diseluruh lapangan terbang Malik Abdul Aziz menyinari indah dan mengkagumkan. Dari asalnya sebuah padang pasir yang tandus dan kering kontang bertukar menjadi sebuah negara yang kaya raya dari minyak yang di anugerahkan Allah yang Maha Pemurah. Subhanallah.
Pakaian ihram kukemaskan baik-baik ke tubuh, ku melangkah keluar dari pesawat. Tiba diterminal, passport kami diperiksa. Satu keratan dari nya telah diambil oleh petugas. Waktu kurusus ku difahamkan masa menunggu untuk melepasi pemeriksaan memakan masa beberapa jam. Peserta diingatkan banyak bersabar dengan kerenah biokrasi di situ.Tetapi alhamdullilah apa yang berlaku tidaklah sebagaimana digambarkan.

No comments:

Post a Comment

Your comment is subjected to moderation. Thank you.