Wednesday, October 21, 2009

DARI ARKIB RELEKJAP 2003 ¬ SEJAK KAUPERGI (Rintihan Jiwaku) EPISOD 1,2,3,4.

Wed Jul 23, 2003 5:00 am
SEJAK KAUPERGI ….
(Rintihan Jiwaku)

Sayang…
Sejak kau pergi hidupku tak serupa lagi.

Abangmu membahasakan diriku “bekas adik-ipar” nya.
Marahkan aku kerna tak sempat menatap jenazahmu.
Mengungkit krisis-krisis lama sekadar melepas geramnya.
Ayahmu tetap keras hatinya.
Telahku minta dia mengampunkan segala dosa-dosamu terhadapnya.
Kutetap anggap diriku anak menantunya.
Ku teruskan jua hubungan siratulrahim dengan adik-beradikmu,

Selepas seminggu engkau dikebumikan, sayang.
Rumah kita tidak dikunjungi mereka lagi,
Tiada tawa, makan beramai, bertukar khabar.
Anak-anak kita masih sugul,
Zairi menemankan ayahnya tidor,
Takut diriku pula mati terkejang.

Kau pernah bertanya jikalau kau mati..
Apakah abang kan kahwin lagi.
Tidak semudah itu , sayang.
Engkau tidak serupa sesiapa,
Walauku cari sepelusuk dunia.
Kalau tuhan pertemukan jodohku,
Bernikah juga aku akhirnya , kerna,
Aku tidak biasa bersendirian,
Seorang isteri selalu berteman.

Sayangku, hidupku tak serupa dahulu.
Kau tiada untuk ku adukan nasib yang menimpaku..
Tuah hidupku seolah-olah direntap pergi bersama-sama mu.
Keretaku jual kerna sering temui kemalangan.
Fikiranku jarang tertumpu di jalanan.
Gaya hidupmu tidak sehebat dahulu,
Kutepikan kemewahan, dipeluk kesederhanaan.
Tidak seperti hidup bersamamu dahulu,
Ku terumbang ambing malam dan siang…

Izinkan aku berkongsi cerita nasib buruk yang menimpaku, sayang.
Besama ikan-ikan di Tasik dan beburung di awang-awangkan.

Aku ditukarkan ke ibu pejabat..
Diriku tidak terurus.
Kubiarkan rambut kerintingku panjang tanpa bersikat.
Kubiarkan bibir dan daguku ditumbuhi jambang
Pakaian yang tidak berseterika lagi.
Kau tiada lagi untuk memilih baju dan celana yang akan kupakai ketempat kerja.
Kasutku tidak kukiwi lagi.
Biarpun terpijak lopak dan berdanak, kupakai juga kepejabat.
Kesihatanku juga terganggu.
Kencing manisku kurang dikawal.
Badanku susut beratnya juga merosot
Aku kerap mengantuk kerna sukar tidur tanpa pelukanmu.
Ada kalanya aku tertidor sewaktu kerja.
Aku juga kuat merokok.
sering menghilang diri ke tandas melepaskan gian.
Gudang garam ku kerat dua bagi memendekkan tempoh isapan.
Gerakgeriku menjadi perhatian Pengurus.
Hingga dianggap Boss aku mengisap dadah.

Keadaan bertambah buruk dengan kehadiran eksekutif baru. Dia cuba menyaingi dan mengambilalih kedudukanku. Pandai main politik pejabat, dia berjaya mempengaruhi Pengurus. Akhirnya aku melukut di tepi gantang .Sebahagian besar tugas asasiku diberi kepadanya. Aku diberi tugas-tugas yang remeh-temeh., termasuk tugas yang pernah dipikul oleh bekas anak-anakbuahku dahulu. Kekadang tidak ada tugas khusus diberi .
Jemu melangut di pejabat. aku terpaksa menawarkan diri untuk membuat apa-apa kerja yang ada, termasuk mengemaskini fail. Macam budak pejabat.

Persepsi pengurus terhadap bekas pegawai kerajaan sepertiku juga sengaja diburuk-burukkan, seolah-olah kerja senang, makan gaji buta.

Appraisal tahun itu terhadap diriku juga menjatuhkan reputasiku konon kerana tidak mencapaii aspirasinya . Apatah lagi bila aku mendidiktetkan satu persatu kelemahan pengurusannya. Kutegur pengurus kerana meletakkan cop buruk didahiku. Ku tegur dia kerana tiada pengalaman mengurus. Dia dilantik pengurus semata-mata kerana dia anak pengerusi syarikat. Lebih berlagak pandai dari kemampuan. Mudah termakan racun yang dihidangkan eksekutif baru yang berusaha mengambil tempatku. Kuenggan menurunkan tandatanganku sebagai protes. Jelas ianya berlandaskan prasangka, dendam dan emosi. . Kenaikan gaji tahunanku ditahan. Lantaklah! Apalah sangat dua tigapuluh ringgit yang mula-mula ditawarkan kepadaku!

Kepada eksekutif itupun aku beri katadua. Hendak ambil tugas-tugas akupun ambillah. Aku dah “puas” jadi boss sejak 28 tahun lebih berkhidmat .Gaji yang syarikat bayar campur pencen kerajaan yang aku terima setiap bulan lebih dari cukup hingga sampai tempoh bersara .

Anakbuah dahulu yang mengharapkan aku menyambung urus mereka selepas projek diswatakan masih menghormatiku walaupun mereka tahu aku dijatuhkan pengurusan dari bekas ketua pejabat kepada budak pejabat. Benci mereka pada eksekutif baru itu membengkak. Ada yang meletak jawatan

Aku sedar mereka hendak menderaku agar aku meletak jawatan. Pada mereka aku diibarat biawak hidup. Gaji bulananku tinggi bebanding Pengurus dan eksekutif baru dilantik itu kerana kenananku dalam perkhidmatan sebelum projek kami diswastakan kepada syarikat...

Kugagahi jua. . Kukuatkan resistan diri . Bertahan selagi boleh. Masih banyak komitmen hidup untuk kusenggaraii. Gaji yang kuterima belum tentu ditawarkan kalau berhenti tukar kerja dimana-manpun organisasi. Tak berapa tahun lagi kan bersara wajib Tak apalah. Kerja senang. Gaji tak kurang. Tak perlu bodek sesiapa. Melangut dipejabatpun melangutlah. Main mata dengan boss. Tak ada apa lagi yang dia boleh buat. Aku dah kebal dengan tektiknya.

Syarat konsesi melindungiku dari dipecat selagi kujaga disiplin kerja. Tak lewat, tak ponteng. Kemas dan urus diri. Masuk kerja pakai smart. Lengkap pakai talileher lagi.

Kujadikan diriku duri dalam daging mereka. Kekadang sengaja kusebukkan diri selesaikan beberapa masalah projek walaupun tidak dijemput. Biarlah mereka terasa kerdil.Cool!.

Tewas juga mereka akhirnya, sayangku. Kekuatan mentalku menang . Aku diminta memohon tukar atas alasan menambahkan pengalam kerja. Pengurus meminta aku menandatangi borang tukar walaupun aku tidak memohon.. Aku terima pertukaran itu tetapi mengubah sebabnya kepada “atas kehendak pengurusan”.

(bersambung )



Fri Jul 25, 2003 12:46 am
SEJAK KAUPERGI ….
(Rintihan Jiwaku PtII)

Rintihan di jiwa,
Membawa derita, merana dan sengsara…
Dikau bulan, tinggi nian,
Tak tercapai tangan…

Apa erti istana,
Mahligai kencana...jika tumbang harapan
Seumpama jurang dalam,
Menghalang asmara.

Mengapakah , kita dapat bersua.
Jika hanya, untuk menanggung lara.

Biarlah deritaku, kubawa sendiri
Dengan bekalan sedih…
Duhai kasih…tinggal beta…
Kelak menderita
(P.Ramlee Lagu filem Panca Delima)
Sayang,
Ku bertukar jabatan lagi . Pejabatku hanyalah sebuah bangunan kontena di tingkat dua , terpisah dari bangunan induk ibu pejabat . Aku berkongsi bilik dengan ketua yang baru, bekas Pegawai Keselamatan Dan Kesihatan pelantar sebuah syarikat minyak yang ternama.

Kerjaku jauh berbeza dengan apa yang pernah kulakukan. Aku bertugas mengarang, menerbit dan mengedar Bulletin Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan syarikat ke pengurus-pengurus kanan di Ibu Pejabat dan pejabat-pejabat projek. Ku kumpul bahan rencana, cari gambar-gambar yang relevan, buat “layout”, dan mengarang dalam dwi-bahasa (Melayu dan Inggeris). Kerap juga kuambil jalan pintas “cut and paste” sahaja dari mana2 muka surat yang ku fotostatkan. Tanpa perkakasan yang canggih hanya komputer 486 dan pencetak berwarna ,yang terbaik dapat juga kuhasilkan . Printer warna kuperolihi setelah lama terhegeh-hegeh mengecek. Scanner sampai kubersarapun tak dapat. Kalau nak scan juga kenalah masuk opis mana-mana PM kanan di ibu pejabat. Derafnya kubawa mengadap GM Pengerusi JKK yang tak pernah gatal tangan dari membetulkan nahu naskah B.Inya sedangkan “excerp”BMnya tak dibaca langsong! Tunggulah aku dihadapannya kalau-kalau dia minta penjelasan lanjut tentang bahan-bahan yang kusediakan. Bila dia senyum dan angguk “Good. Very good!” aku akan menarik nafas lega. Dah lulus , kutaip semula rencana yang diolah, ulang proses layoutnya, cetak , bind naskah secukupnya, dan lepaskan ke Pentadbiran untuk edaran. Mudah nampaknya tetapi bila dilakukan sendirian , terasa juga bebannya. Namun aku merasa lega kerana jauh dari perhatian orang-orang yang jaki dengan pengalaman kerja dan taraf gajiku..

Sebulan sekali aku dapat duduk bersama “top-guns” syarikat dan semua pengurus-pengurus projek yang turun ke Ibu Pejabat . Sebagai setiausaha mesyuarat “Main Safety Committee” atas bijaksana aku sendirilah nak tanggap apa yang AJK bincangkan. Ku duduk dekat GM Pengerusi kerana dia yang paling banyak berhujjah. Membebel panjang-panjang. Kekadang tak teratur ekor kepala walaupun ikut minit. Nasib baik mesyuarat itu hanya sekali sebulan. Boss akupun tak banyak buat pindaan bila kuserahkan deraf minit kepadanya. GM Chairmanpun kurang komen bila tengok tandatangan ringkas boss. 14 hari sebelum mesyuarat berikutnya, ku siap cetak dan edarkan. Itupun bila hari mesyuarat kukena bawa salinan tambahan kerana ada yang datang tanpa membawa minit.

Makan angin rasanya bila venue mesyuarat bertukar ke pejabat-pejabat projek secara bergilir. Di Pahang dapat merasa ikan patin.. Di Perak barbeque. Di Cameron Highland, khenduri besar . Puas makan durian. Faham-faham sahajalah bila kita ikut rombongan pengerusi.! Bersiap sakan nak merai bekas Major Jenderal tentera bergelar Datuk itu.

Aku juga dibawa ketuaku, dari semasa ke semasa, membuat pemeriksaan di tapak projek-projek syarikat, dekat dan jauh hingga melewati sempadan negeri, untuk memastikan pematuhan kepada prosidiur keselamatan dan kesihatan di tapak kerja . Rekod-rekod induksi pekerja, kemalangan dan mesyuarat jawatankuasa keselamatan mereka diteliti. Aduan dan keluhan pekerja dicatit untuk tindakan lanjut. Segala perlanggaran Akta Keselamatan dan Kesihatan 1994 dan akta-akta serupa waktunya akan diketengahkan.

Audit tahunan diadakan di kesemua projek syarikat yang terdapat di seluruh negara. Selain mempastikan penguatkuasaan keselamatan, projek yang mempunyai ciri-ciri keselamatan dan kesihatan terbaik dianugerahkan trofi pusingan, berdasarkan marakah kesalahan terendah yang diperolihi.

Harap tak ada yang jemu dengan butir-butir kerjaya baruku. Ku tak dapat mengelakkan dari menulisnya kerana... aku sukakannya!

Jika projek membelah bukit bukau dan hutan belantara, meredahkan Range-Rover yang dipinjami Datuk untuk kenderaan kami. Ku duduk macam tuanbesar sebelah boss yang memandu. Dia ada AP untuk memandu kereta syarikat. Kalau Datuk tompang kerana mesyuarat JKK , dok di belakanglah saja. Tak terasa jauhnya perjalanan dari ibu pejabat ke destinasi-destinasi pendalaman projek kalau dia se kereta. Dia suka bercakap. Mengantukpun tadah juga telinga. Sedar-sedar dah sampai.

Bermalamlah kami di kuarters yang disediakan khas untuk pelawat. Mandi air panas tersedia jika cuaca terlalu sejuk. Makan tengahari dan malam mengadap anika hidangan yang dimasak khas pengelola kantin. Berehat menonton siaran dipancarkan piring satellite .di “banglo” pengurus projek. Dia menyimpan banyak koleksi lagu-lagu karaoke kalau terasa nak melalak. Kutak menghampakan bila dimintanya nyanyi lagu-lagu P.Ramlee dan SMSalim.Esok harinya baru ke “site office” mula audit dokumentasi keselamatan selepas sessi “briefing”. Diikut “safety inspections” kenderaan dan jentera-jentera berat di bengkel, “house-keeping” stor, kediaman pekerja di rumah panjang mereka dan persekitaran tapak. Teguran dibuat “on-the-spot”. Laporan bertulis kelak menyusul, salinan kepada GM memasing. Itu projek multi-million di Perak. Semasa ke Kelantan , makanan tak seberapa. Tengahari makan di restoran tepi jalan keluar. Malam makan di kantin ala kadar. Tempat penginapan masih baik. Selepas kami balik rumah itu diranapi gajah liar. Cuma pengalaman keluar memancing sambil bersantai dalam bot di Tasik Temenggor sukar dilupai. Datuk jarang ikut bersama. Barangkali kerna projek telah selesai. Hanya penyenggaraan sahaja dijalankan sebelum diserah kepada JKR.

Lega rasanya dapat turun ke padang. Layanan yang diberi pengurus , penyelia dan pekerja projek cukup baik . Laporan yang dikemukakan jabatan kami kepada Pengerusi dan lembaga pengarah serta pengurusan atasan akan menjadi kayu ukur prestasi mereka..
Baik tak baik layanan, tidak diambil kira. Kalau tersangat baik dapatlah markah “bonus”. Perlanggaran prosidiur tetap direkod. Ini kerana keselamatan dan kesihatan pekerja dan persekitar tempat kerja amat dititikberatkan. Malang tidak berbau tetapi boleh dicegah. Kemungkinan-kemungkinan berlaku kemalangan berat maupun maut akibat kecuaian perlu dikenalpasti. Projek-projek di kawasan tanah tinggi dan bukit bukau banyak risikonya. Ada yang mati dihempap jentera panduan sendiri yang tergelincir dan terbalik di tapak pembinaan. JKKP memantau aspek keselamatan dan kesihatan.. JKR dan agensi penyeliaan memantau kemajuan projek Kalau lewat kena denda Tak ikut prosidiur keselamat , akan disita hingga ianya dipatuhi. Kalau pengurus projek pandai mengambil hati, selamat.

Syukur, alhamduillah. Terasa harga diriku pulih. Semangat kerja kembali memuncak. Yakinlah, ikan-ikan di Tasik dan beburung di awang-awangan…juga atas kenangan terhadapmu sayangku, di sebalik setiap musibah yang menimpa, ada hikmahNya. Pengalaman kerja disitu adalah suatu rezeki.Barangkali berkat doamu dari alam sana. Yang pasti doa hamba yang dianiayaii dimakbulkan tuhan.

(bersambung)



Fri Jul 25, 2003 10:27 pm
SEJAK KAUPERGI ….
(Rintihan Jiwaku PtIII)

wAHAi jiwa yang sudah pergi,
ditemani jiwa-jiwa yang pergi dahulu daripadamu,
bertenanglah.
Aku masih gagah berdiri,
Mendepani panacaroba ciptaan maknusia.
Retak tanganku tidakkan berdarah.
Pecah tumit dan tapak kaki kurawat sendiri.
Patah sendiku boleh disimen.
Lemah otot ku jalan dengan bertongkat…
Tapi kepergianmu masih ku ratapi,
Sedar-sedar tujuh tahun berlalu.
Ku tahu jasadmu tetap di situ,
Namun rohmu tak dapat ku terka,
Harap jadi beburung hijau berlegaran,
Pepohon di taman Sorga jadi hinggapan,
Berkicau riang hingga mahsyar….

Izinkan aku meneruskan rintihan jiwaku.

…Dalam kebahagiaan yang telah kulukiskan, saki baki musibah dahulu tempias juga.. Walaupun dah teguh dengan pengalaman kerja di jabatan itu, orang baru juga yang memintasku bila boss dahulu berhenti.

Disebalik mengakui kewibawaan major (B) bekas bossku itu., timbul pertanyaan dibenakku apabila yang menggantikannya juga se-angkatan. Apa lebihnya bekas pegawai eksekutif tentera dengan bekas pegawai eksekutif kanan kerajaan hingga bekas “army” juga diangkat mengganti? Soalan itu kulihat relevan dibangkitkan. Maaflah, kalau ada dikalangan pembaca bekas tentera. Sekelumitpun tidak kumaksud menghina kalian.

Dia EO kapal perang . Aku bebelas tahun mengepalai enam puluh lebih kakitangan projek sebelum ianya dipajak majikanku kepada syarikat swasta ini. Aku tahulah tentera mampu menjalankan tugas-tugas awam tetapi pegawai awam tidak bisa memikul tugas sebaik tentera. Oooo, tentunya kerana Pegawai tentera terlatih dalam tektik pertempuran. Bertahun dilatih dalam dan diluar negeri. Motto “berpantang maut sebelum ajal” terpahat di dada. Daya tahan menghadapi rintangan lebih tinggi. Berdaya tahan dan lasak mengharungi laut dan belantara. Integriti keperibadian sudah tentu unggul. Perhubungan kemanusiaan (human relations) sudah tentu “tip-top”. Personaliti dan hubungan “interpersonal “…sudah tentu bagus! Patuh kepada perintah tidak perlu lagi dipersoal. “Yes sir!” …Tabik tuan!

Muda lagi untuk memikul gelaran Leftenan Komander (B). Ada tanda soal besar disitu. “Something is wrong somewhere..” bisik hatiku. Aaah, itu bisikan iblis yang menghasut egoku ! Teringat P.Ramlee dalam Seniman Bujang Lapok melepaskan dialog sindirin terhadap orang Melayu melalui benggali jaga studio…<> “Awak punya nasib, awak makan. Dia punya nasib dia makan…Apa salah awak orang sama-sama makan?”

Yang jelas , terserlah kebijaksanaannya memanupulasi orang atasan dan orang bawahan. mengikut kehendaknya dibawah sedar. Taklah sampai menggunakan ilmu pukau!

Orang bawahan dikerah mengeluarkan hasil kerja terbaik untuknya. Orang atasan berbangga dengan hasil kerja yang kononnya terbit dari idenya. “Saya” yang buat itu, dan “saya” yang buat ini. Istilah kami tak terpakai lagi. Lembu diperah susunya, kok sapi yang dapat nama. Yang diperah juga ramai yang se-angkatan dengannya. Rata-rata berpangkat rendah dahulu. Habis tinggipun pegawai waran . Taat perintah tanpa banyak soaljawab…Aaaah! Terasa sekalilagi iblis membisik ke hatiku prasangka yang bebukan!

Setiap tahun appraisal, dia dapat tidak kurang daripada 30% kenaikan gaji. Tetapi apa yang diberinya kepada yang dibawahannya tidak sampai 10%. Serendah 2% pun ada. Jika disoal, mudah jawapannya “ Saya rekoman tak kurang 2% untuk awak, tapi keputusan terakhir GM yang tetapkan..”…Cara….!

Cara merangsangkan kakitangannya untuk kerja keras termasuk juga menyalahkan orang atasannya . Sekurang-kurangnya dia terlepas dari dipertanggungjawabkan anak-anak buahnya.

“Saya faham masalah awak semua. Saya dah bangkitkan bersungguh-sungguh, Cuma tak sampai menumbuk meja. Dia tak kesah, apa saya nak buat? Ini arahan dari atas….” Pujuknya untuk menaikkan semangat mereka.

“Awak tahu perangai dia, kan? Hitam katanya, putihpun hitam jugalah kata kita.” Semangat…!

Ex-army tentu kenal isi perut orang sewaktu dengannya. Apa lagilah Major Jenderal (B) Datuk GM yang “temperamental” itu. Time dia naik angin, kena carut “bloody” itu dan “bloody” ini awak. Bila happy, kesah dalam kainpun hendak diceritera.

“Kita singkatkan “service” kerna tak tahan di lanyak Masuk syarikat pun , tak lepas. Lagi teruk kena lanyak juga”. Amboi, tektik itu!

Tak kesiankah orang dibawah bila boss ini sanggup menangis bersama-sama mereka. ?
Boss dahulu tak macam ini. Dia berani “handle” kebanyakan tugas sendiri. Rujukan ke GMnya adalah ditahap paling minima. Masalah kerja dan pekerja yang berbangkit diselesaikan diperingkatnya tak berpanjangan ke atas. Aku suka cara dia. Mungkin kerna dia ber- jawatan pengurus dari hari pertama dilantik ke syarikat.

Yang ini baru memangku. Masih banyak anaktangga yang perlu dijejaki. Terlalu banyak yang hendak di tonjolkan.

Jangan pula ibaratkan aku tak pandai menari kerana lantai tinggi rendah. Kutak nafikan yang baik itu dari Allah. Nikmat jawatan yang diperolihinya adalah atas usahanya juga. Nasib yang menimpa diriku adalah hasil buatanku sendiri .

Kalau bodek tepat dengan orangnya dan kena caranya. Mereka sanggup mengekori GM kemana saja dan berbuat apa sahaja, sedangkan aku tidak . Dia sanggup kelilingi GM kalau beliau singgah “on the way out” di laman jabatan. Menemani GM melepas tension seharian kerja. Masih mampu lagi ketawa bedekah-dekah akan lawak bodoh dan agak sedikit lucah darinya , sekalipun lawak-lawak yang dah basi diulangi.

Aku tidak. Aku mengelak dari tersangkut lama-lama melayani celotehnya untuk lekas balik ke rumah. Kalaupun terjebak juga, “excuse me, datuk, waktu magrib dah masuk, I’ve got to rush home.” …kerana pada saat itu sudah ada gantimu dengan anak kecil kami yang ternanti-nanti kepulanganku di rumah. Anak-anakmu dah besar. Pandai-pandailah mereka menompang kasih ibu tiri mereka pula.

(bersambung lagi ke bhg iv)
BENariff



Sun Jul 27, 2003 1:57 am
SEJAK KAUPERGI ….
(Rintihan Jiwaku PtIV Terakhir)

Ku ibarat sehelai daun ,
Yang kering disinari mentari,
Dan basah disirami hujan,
Melayang-layang bersama angin,
Tapi berputar-putar di ruang yang sama,
Terumbang ambing bagaikan ombak,
Yang bebalik ke lautan dalam,
setelah menghempas tepian pantai.
Angin dan ombak sama sahaja,
Satu menolak, satu tertolak,
Pantai yang sama juga terhempas,
Pasir yang sama juga diluruti,
Tebing-tebing dapat kuhakis,
Tembuk-tembuk konkrit tetap ditapaknya.

Aku ibarat benang yang dibasahi,
Air mata , darah dan nanar,
Kan kering dan tegak jua sampai ketikanya. - BENariff


Aku mengelak dari tersangkut lama-lama melayani celotehnya untuk lekas balik ke rumah. Kalaupun terjebak juga, “excuse me, datuk, waktu magrib dah masuk, I’ve got to rush home.” …kerana pada saat itu sudah ada gantimu dengan anak kecil kami yang ternanti-nanti kepulanganku di rumah. Anak-anakmu dah besar. Pandai-pandailah mereka menompang kasih ibu tiri mereka pula….

Bangga pula aku dengan berkata dalam hatiku
“…Kalau sudah ada sepuluh orang mengelilingi nya , aku tidak akan jadi orang yang ke sebelas.”

Sebab itulah, agaknya, orang lain sudah memanjat tangga kejayaan sampai ke garisan penamat, sedang aku tegak statik digaris permulaan.!

Aku dilahirkan songsang, barangkali… always doing the opposite of what people usually do.

Tiga tahun disitu aku tetap sebagaimana aku sewaktu masuk ke jabatan itu. Ku dapat tahu eksekutif di jabatan lama sudahpun dinaikkan pangkat ke Pengurus Operasi dan tidak lama kemudian bergelar Pengurus Besar (GM) apabila jabatan lamaku berkembang menjadi anak syarikat . Kau bayangkan, betapa kerdil kurasa diri ini. Orang yang menapak masuk kemudian dariku dengan pangkat yang sama kini Pengurus Besar sebuah anak syarikat dan memiliki bangunan ibu pejabat mereka sendiri ( sob!). Aku masih eksekutif rendah syarikat induk ! Tepat sekali pepatah mengatakan “tuah ayam nampak di taji. Tuah manusia, kurasa, kerana tepat dengan cara dan agendanya. ….

Lt.Kmdr (B) itu pula dah memasuki tahun ke dua pengajian ijazah sarjana muda Business Management di sebuah IPTA . Dah 40 tahun masih ada semangat memajukan diri sambil mengulang-kaji dan menyiapkan assignments nya dalam pejabatnya, terluang kerja.

Dia tidak memangku lagi. Kesungguhan usahanya telah membuahkan hasil. Sudah dapat pangkat Pengurus sebelum perletakan jawatan datuk GM , patron-nya. Mej.Gen. (B) pula ditawar kerja yang lebih “yummy” imbuhannya di syarikat lain. Apa lagi yang dia mahu? Mereka tetap laku dimana-mana.

Betapa naifnya aku sekadar berbangga dengan penghasilan kerjaku dan pujian yang mengikutinya - entah ikhlas entah tidak, ye? Deep down kucuma mengharap gajiku naik sedikit lagi sebab dah lama berada ditakok maksimum.

Perjalanan ke outstation pun kurang .Projek yang jauh-jauh banyak yang siap. Pejabat-pejabat projek tutup ditinggal sepi. Ramai kenalan ditamatkan kerja. Ada yang masih menganggur mencari tapak baru untuk hidup.

Aku makan hati berulam jantong. Kerja bersendirian di bilik pejabat sejak ketua unit yang dahulunya berkongsi bilik dipecat kerana melanggar tata-tertib syarikat.

Dimasa luang, kalau tak menyiapkan deraf kerja, aku mendengar radio sambil membaca atau berkarya. Jika tidak, tidor! Amboi, seronok nya dier!

Apa yang sepatutku buat ialah mengadho’ solat-solat fardhu yang tertinggal, membaca kitab dan mendalami ilmu keagamaan tumpang masa terluang…..itu lebih afdhol , kan? Halalkah gaji yang kuterima jika kulakukan dalam masa berkerja walaupun diluar kepentingan syarikat ? Ustad pernah berkata jangan curi tulang waktu kerja, lebih-lebih lagi di bulan puasa, tak halal upah (gaji) yang diterima…agaknya pertanyaanku tadi ada kaitan. Wallahua’lam.

Waktu terluang ku sering juga terganggu dengan entah apa-apa assignment dari boss termasuk menjadi vocubalary dan penterjemah Melayu-Inggeris setiapkali deraf surat dan laporan olehnya tersangkut dimana-mana..kesian dier. Kutuk, kutukpun, tak gamak aku melihat dia terkapai-kapai. Daripada diganggu deringan telefon, lebih senang ku derafkan untuknya. Pelik tetapi benar, selepas bersusah payah menderafkan yang terbaik, pandai pula dia buang disana dan tokok disini. Takapalah. Dia yang nak sain end-product itu.

Selalu begitulah. Diarah GM “masak” dia kelabu mata dimana nak dimulakan. Ndak masak apa, ah? Bila aku tolong masakkan, boleh pula komen tak masin manis tawar dan pedasnya . Pandai pula menambah rencah itu ini. Siap dia yang “menghidang”, dialah dianggap memasakkannya. Tak apalah. Lagipun senarai tugas ku termasuk “lain-lain tugas yang diarahkan”

Sayangku,
Aku dah mengadap tembuk yang pejal . Tak ada ruang tapak untuk melangkah lagi. Tak ada apa yang ku nampak di hadapanku kecuali pintu keluar. ..“mark time” untuk gulung karpet yang melapik lantai milikku , dan pulang dengan khazanah-khazanah peribadiku ke rumah sebagai kenangan.


Sekali sekala aku membuka rekod-rekod kerjayaku dan mengorak senyum . Aku tak percaya pepatah barat yang mengatakan “ a rolling stone gather no moss”. Sepanjang kerjayaku telah beberapa kali kumelompat dari satu kerja ke kerja yang lain kerana mengejar imbuhan yang lebih memberangsangkan. Setiap kali tukar jabatan ataupun ketuaku diganti kerana naik pangkat, aku akan melalui detik-detik yang getir lagi untuk menyesuaikan diriku mengikut selera ketua yang baru. Balik ke garisan permulaan lagi, prestasi kerjaku diukur dari sifar kosong. Yang dah naik pangkat pergi tanpa memandang kebawah jasa-jasaku lagi. Tak kurang juga yang meninggalkan gambaran-gambaran yang buruk latarbelakangku untuk diwarisi penggantinya. Makanya, persepsi buruk terhadapku akan berpindah tangan.

Aku memang lantang menyuarakan pendapatku kehadapan immediate superiorku sebagaimana aku menggalakkan anakbuah-anakbuahku supaya berani menyatakan kebenaran dihadapanku. Umpamanya, kalau nak minta cuti kecemasan, jika disampai secara jujur, akan kululuskan atas dasar perikemaknusiaan. Tak payahlah mereka-reka alasannya. Anak tak sakit jangan dikata sakit nanti betul-betul sakit. Nenek yang segar jangan dikatakan sedang nazak. Terkilan apapun, waima cara pengurusanku, sila luahkan dihadapanku. Tak mahu mengadap ku diseberang meja pejabatku kok ketara hubungan tinggi-rendah, kita duduk sebelah menyebelah di meja panjang bilik mesyuarat atau di kantin “on equal terms”

Kutabik mereka yang berani mengkritikku . Kalau aku yang tersalah-anggap dimana-mana arahanku, akulah yang menghulurkan tangan meminta maaf. Sebarang prasangka ku perjelaskan secara terperinci hingga mereka senyum kembali. Yang murung dek masalah peribadi termasuk ditinggalkan kekasih hingga kerap MC dan cuti kecemasan tak kubiarkan terus murung sendirian hingga menjejaskan operasi projek. Kupanggil berhadapan dan kunasihati. Kupulihkan semangatnya. Pahit maung bercinta, berumahtangga, beranak pinak , berkerja dan kehidupan berada dihujung jari jemariku. Begitu juga jika ada yang bermasam muka tidak tegur menegur setempat kerja, kujadi orang tengah bawa mereka besemuka dan mendamaikan

Kupernah rasa kecewa kerana apa yang aku amalkan terhadap orang bawahanku tidak dipraktikkan ketua-ketua ku. Seboleh-bolehnya mereka mahu menunduk dan menutup mulutku dari mendengar “the other side of the story”.

Yang terlalu bossy ku letakkan mereka dalam keadaan yang “embaraased” di hadapan kakitangannya sendiri. Kalau dia tergamak memalukan aku dihadapan mereka, aku juga ada caraku sendiri untuk “menunjukkan teladan” yang dia dahului.

Kuteringat suatu ketika dia meminta aku membaca doa majlis jamuan di pejabat. Ku kembalikan hajat itu kepadanya. Sebagai ketua, kukata, dia harus berada selangkah dihadapan pengikutnya (one step ahead). Jangankan Alang-alang nak jadi pemimpin, pimpin segala-galanya . Bukan hanya dalam operasi harian, malah bersedia membaca doa dan meng-imamkan kami dalam solat jika diminta.. Ndak tahu apa jawapannya, “ Beri laluan kepada orang yang lebih tua..” sebagaimana juga bila ke outstation, aku imamkan solat jemaah kami.

Tentang kenaikan gaji tahunan yang rendah diperolihi rakan-rakan sekerja termasuk diriku sendiri , antara isu yang kubangkit dihadapannya, ialah:
· bagaimana boleh GM memperakui kenaikan kami begitu rendahnya sekiranya benar boss melapor “yang terbaik” ?
· Kenapa tulis markah “terbaik” dihadapan kami dengan pensil tetapi meminta kami turunkan tandatangan persetujuan dengan dakwat kekal?
· Bagaimana boss mendapat hampir 40% kenaikan sedangkan prestasi pekerja bawahan boss cuma layak bawah 10%?
· Apa salahnya si-polan si-polan sampai “dihinaii” dengan kenaikan cuma 2% ??
· Tidakkan boss merasa bahawa laporan buruk yang boss kemukakan terhadap kakitangan boss bagai ludah yang menimpa batang hidung boss sendiri?
· Bolehkan boss mendapat , katakan, 8A yang diperakui GM ke MD kalau kami tidak berhempas-pulas menaikkan imej dan prestasi kerja boss?
· Inikan “terima kasih” boss yang kami dapat sebagai imbuhan khidmat kami?
· Berapa “A” kah yang boss akui kepada GM dalam laporan-laporan kami?
· Kalau saya jadi boss, malu saya nak terima imbuhan begitu jauh tingginya bebanding apa yang management “kurniakan” kepada kakitangan saya….!

Dipenghujung kerjayaku itu, tiada apa diberikan kepadaku sebagai cenderahati kenangan dari pengurusan Syarikat . Tiada juga dari Pengurus dan renrakan sejabatan. Sebelum aku, senarai diedarkan kepadaku dan lenlain kakitangan jabatan untuk sumbangan kewangan bagi menganjurkan jamuan perpisahan serta membeli hadiah cenderahati bagi pekerja yang berhenti. Tetapi tidak bila tiba giliran aku meninggalkan mereka. Pergghh. NO BIG DEAL !

Hari terakhirku disitu macam hari-hari kerja biasa. Tak adapun yang menjengok ke pejabat ketika aku mengemas barang2 persendirianku.
Diam-diam sahaja ku angkut barang2ku ke kereta. Salam dan berpelukan dengan beberapa orang yang rapat, punch my card and balik !

Sayang…oh sayangku!
Semasa engkau terlantar di wad 27 Hospital Klumpur ,
Ku mohon cuti dari anak Pengerusi itu utk menemanimu,
Dia meminta aku kemukakan bukti,
Walaupun kukatakan kepadanya “she is dying…”,

Tidak juga “time-off” untuk jumpa pakar yang merawatmu,
Untuk mengetahui apa sebenarnya yang kau hadapi,
Tidak dibenar makan sejak beberapa hari,
Hanya “drips” yang disalurkan tiup yang dicucuk ke pegelangan tanganmu,
Betapa sebelum masuk wad kau begitu berselera makan…

Deraan berterusan bila cuti tidak diluluskan,
Konon aku dikehendaki membuat satu assignment,
Yang peru disegerakan atas kepenting syarikat…
Begitu juga bila ayah mengikutimu beberapa bulan selang,
Aku terpaksa tunjukkan gambar ayah terbaring menanti hari,,,
Sebagai bukti yang aku benar-benar balik ke kampong,
Menziarahi ayah untuk kali yang terakhir.

Betapa tidak malu anak pengerusi itu,
Datang ke rumah kita membawa RM seribu wang ihsan
Menyerah ketangan ku sebagai tanda simpati…
Dan membaca yassin untukmu dimalam pertama kepergianmu.

Ku masih ingat nasihat seorang sahabat baikku, seorang penyanyi pub sewaktu tekanan tidak tertahan lagi. Katanya, “ I kira you bernasib baik. You masih ada kerja yang tetap dan bergaji lumayan. Tengok macam I nih, ada kontrek adalah uang. Tak ada kontrek, telanjang I, you!!”

Tambahnya lagi “ I yang tak ada kerja, membutuhkan kerja. You yang dah bekerja, bersungut tak di beri kerja. Orang cari kerja yang senang, you menagihkan kerja yang berat-berat, kenapa? Ingat anak-anak yang bergantung hidup dengan you. Sabarlah. Kerja baik-baik. Jaga hati sendiri untuk menjaga hati orang”……eiii melebih-lebih pula kita!”

I am like a wild horse not easy to saddle.
Breaking me is likened to breaking a camel’s back.
I’ll stand firm on my principles.
One cannot break my back
as long as what I do is right.
I persisted. I resisted.
I had survived the torment and torture,
On the long climb up to fame and failures.
I’ve been alone, but not with you,
and alone I’m used to but never without you.


TIPS
Tak bererti “rintihan” tanpa menekankan “penderitaan” yang lalui.
Tak dinamakan “ penderitaan” kalau ianya kau lalui sendiri.
Tak banyak, sedikit tentu ada “kerananya”.
Tak “kerana” jika tidak dikeranakan seseorang.
Bukan “rintihan” jika tidak disaluti emosi.
Tiada lakaran tanpa menulis dari hati.
“Sensasi” tak jadi sensasi tanpa tokok tambahnya ,
Kok ada yang terasa, maaf ku pohonkan.
“Keperitan” yang diigau jadikanlah panduan.

Morale Untuk Renungan
Jangan diikut celupur mulutku walaupun atas nama kebenaran. Akibahnya…tak payah ku ulangi. Kalau dah ditakdirkan ke bawah dudukmu, duduklah baik-baik.
Jangan terlalu ghairah berkehendakkan sesuatu. Jangan pula sampai mengorbankan masa depan kerana terlalu mengikut hati.

Disclaimer: Rintihan Jiwaku , terurai dari titis-titis realiti dan fantasi , Jikalau tersangkut paut dengan sesiapa sejak kau pergi, adalah taqdir semata-mata..

Wassalam.BENariff

No comments:

Post a Comment

Your comment is subjected to moderation. Thank you.